Mangsa Banjir Terharu Terima Kunjungan PM

Kuantan – Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau di sini terharu apabila menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.


Kunjungan itu merupakan kejutan yang dibuat Najib bagi menzahirkan keprihatinan dengan nasib penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Beliau yang tiba di pusat pemindahan itu pukul 12 tengah hari sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan seramai 145 mangsa daripada 39 keluarga yang ditempatkan di sekolah tersebut.

Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit sempat memberi kata-kata semangat kepada mangsa yang terdapat di pusat pemindahan tersebut.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Shahnorizan Zamding, 31, melahirkan rasa terharu kerana seorang pemimpin besar negara sanggup turun padang untuk bertanya khabar.

“Tak sangka saya dapat berjumpa Perdana Menteri. Beliau sempat bertanya khabar kepada saya dan bertanya mengenai keada­an rumah.

“Beliau juga ada tanya mengenai kemudahan yang ada di pusat pemindahan ini. Saya kata semua baik dan makanan juga sedap,” katanya yang tinggal di Kampung Air Hitam.

Menurutnya, rumahnya yang turut didiami bersama empat orang anak dan suaminya itu mula dinaiki air Khamis lalu selepas hujan lebat.

“Air naik terlalu cepat, saya sekeluarga tidak sempat kemas barang dan terpaksa berpindah pada petang Khamis selepas rumah dinaiki air hampir paras pinggang,” katanya.

Dalam pada itu, Alias Mat Yusof, 68, dari Kampung Sungai Belat, turut melahirkan rasa gembira kerana pemimpin nombor satu negara sanggup bertanya khabar penduduk yang dilanda bencana banjir.

“Rasa sedih terubat apabila pemimpin negara sanggup turun padang untuk melawat dan memberi kata-kata semangat kepada kami,” katanya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.