KJ ‘Sekolahkan’ Ahli Parlimen Belia, Dakwa Dirinya Akan Jadi Mimpi Ngeri…

Kuala Lumpur – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dikatakan telah memberi amaran terakhir kepada semua ahli Parlimen Belia Malaysia (APB) berikutan beberapa insiden yang telah memburukkan nama mereka sendiri termasuk kerajaan.

Menurut satu status yang dimuat naik oleh kumpulan Facebook yang menggunakan nama “Kambing Ganas II”, Ahli Parlimen Rembau itu didakwa telah menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp kepada seorang APB bernama Ezlan dan meminta beliau menyampaikannya kepada semua APB.

Khairy dikatakan memilih untuk memberi amaran secara peribadi kepada kumpulan itu bagi menjaga reputasi daripada bertindak memberi amaran secara terbuka di akaun Facebook beliau bagi mengelakkan mereka berasa terhina.

“Saya tidak perlu mengingatkan APB mengenai apa yang telah berlaku sejak beberapa hari lepas.

“Walaupun hanya melibatkan sebilangan kecil anggota, kes berkenaan telah memusnahkan nama baik Parlimen Belia Malaysia (PBM) secara keseluruhan.

Khairy sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam usaha menubuhkan PBM dan menguruskan hal ehwal berkaitan menasihati kumpulan terbabit kerana ia melibatkan reputasi kumpulan sulung APB negara.

“Saya sudah meminta agar anda tidak menunjuk-nunjuk dan berlebih-lebih dalam melakukan apa-apa perkara. Apa yang sedang berlaku di sini?

“Walaupun ia hanya membabitkan satu atau dua orang daripada APB yang menimbulkan masalah tetapi adakah anda fikir bahawa saya tidak akan mendapat maklumat daripada pihak lain?

Khairy juga dikatakan menggesa ahli APB agar sedar bahawa tindak tanduk mereka telah mengakibatkan PBM menjadi bahan ketawa sambil mengatakan beliau sendiri tidak gemar menggunakan lambang menteri atau Ahli Parlimen pada keretanya.

Status selanjutnya di laman Facebook kumpulan “Kambing Ganas II” mendakwa Khairy memberi amaran bahawa beliau adalah seorang yang penyabar namun jika tahap kesabarannya cuba diuji, beliau boleh menjadi seorang menteri yang akan menjadi mimpi ngeri kepada APB berkenaan.

Reaksi Khairy itu mengenai sepucuk surat yang didakwa ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada seorang APB yang kini tersebar dan menjadi viral di media sosial.

Sementara itu, seorang APB turut mengesahkan bahawa Khairy telah memberi taklimat kepada mereka secara khusus mengenai objektif PBM dan APB.

“Pertama, untuk kita sebagai wakil belia melaksanakan sesi percambahan fikiran dan mengemukakan saranan mengenai isu-isu belia, bagi memastikan kerajaan memahami keperluan belia selain untuk mendedahkan kepada golongan belia mengenai sistem demokrasi di Malaysia.

“Ia bukan untuk disalahgunakan oleh APB untuk merasmikan sekolah atau berkempen untuk tujuan peribadi mereka,” kata APB berkenaan yang enggan namanya disiarkan.

APB yang sama juga mendakwa, terdapat kemungkinan ahli-ahli persatuan belia tertentu yang cuba menjatuhkan PBM yang mereka rasa telah merendahkan persatuan masing-masing.

“Ada kemungkinan bahawa ahli beberapa persatuan belia tertentu telah menyusup masuk ke dalam PBM sebagai APB ketika pilihan raya sulung PBM sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.