Jenazah Koperal Mohd Farouk Tiba Petang Ini

Kuala Lumpur – Jenazah Allahyarham Koperal Mohd Farouk Bahar, 29, anggota tentera yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 8 Jalan Silabukan, dekat Kampung Biuang, Lahad Datu semalam, akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 2.05 petang ini.

Pegawai Bahagian Operasi Bilik Gerakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kementerian Pertahanan, Mejar Baharom Ismail berkata, jenazah diterbangkan dari Tawau jam 11.05 pagi tadi menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS).

“Jenazah dibawa dengan pesawat MH1661 dan akan tiba mengikut masa yang dijadualkan.

“Bagaimanapun, ia akan mengikut keadaan, jika ada sebarang perubahan masa dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Rakyat Post, pada Ahad.

Tambahnya, sejurus tiba, jenazah akan dihantar terus ke kampung halamannya di Yong Peng, Johor menggunakan van jenazah Angkatan Tentera Malaysia yang menunggu di KLIA.

Dalam kejadian semalam, Allahyarham bersama 22 anggota lain yang dalam konvoi empat kenderaan tentera untuk menyertai Latihan Ex-Pasak, terlibat dalam kemalangan, apabila trak yang dinaikinya hilang kawalan.

Kejadian yang berlaku pada jam 10.30 pagi itu, menyebabkan enam yang lain cedera, termasuk dua kritikal dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Lahad Datu.

Beberapa anggota tentera yang berada di dalam trak tersebut tercampak keluar, manakala ada pula yang terperangkap di bawah trak terbalik itu. RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.