Tiong Lai Presiden MCA Yang Baharu

SHAH ALAM – Datuk Seri Liow Tiong Lai menepati jangkaan apabila terpilih sebagai Presiden MCA yang baharu dalam pertembungan tiga penjuru pada pemilihan MCA, yang diadakan di Wisma MCA, hari ini.

Tiong Lai berjaya mengenepikan lawannya, Gan Ping Sieu dan Datuk Seri Ong Tee Keat dengan memperolehi 1,186 undi.

Ping Sieu memperoleh 1,000 undi manakala Tee Keat menerima 160 undi.

Sementara itu, Datuk Wee Ka Siong terpilih sebagai Timbalan Presiden MCA selepas menewaskan regu satu lawan satunya, Datuk Donald Lim dengan mendapat 1,408 undi berbanding hanya 927 undi diperoleh Lim.

Empat kerusi naib presiden pula berjaya disandang Datuk Lee Chee Leong, Datuk Hou Kok Chung, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Wei Fun selepas berjaya mengenepikan lima calon lain yang bertanding.

Chee Leong menang dengan 1,642 undi, Kok Chung (1,475), Tee Yong (1,343) dan Wei Fun (1,230).

Bagi kerusi jawatankuasi pusat, ia telah diisi oleh 25 calon yang mendapat undi tertinggi daripada 58 calon bertanding.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Datuk Yik Phooi Hoong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.