Sorok Dadah Dalam Poket

SUBANG JAYA – Polis berjaya menahan tujuh individu yang disyaki penagih tegar atau berkemungkinan merupakan pengedar dadah selepas menemui dadah yang disembunyikan dalam poket seluar, dompet dan juga dalam pakaian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dadah yang ditemui di tubuh badan suspek termasuk jenis ganja, ketamin, eramin 5 dan syabu.

Katanya, suspek adalah antara 31 individu yang ditahan dalam Ops Cantas Khas Bersepadu berhampiran hentian tol Bandar Sunway, lewat malam semalam.

“Seramai 2,716 individu diperiksa termasuk 420 daripadanya adalah wanita.

“Seorang lelaki yang dikehendaki polis bersabit kes memiliki senjata maut dalam rusuhan turut berjaya diberkas,” katanya mengenai operasi yang disertai  288 anggota bersama 46 pegawai  dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Selain itu, tambah Yahya, tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an pula ditahan kerana didapati memiliki mercun.

Kata Yahaya, 39 orang diarahkan menjalani ujian saringan air kencing bagaimanapun lapan daripadanya didapati positif.

“Kami turut menahan 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri masing-masing.

Mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an adalah warga Pakistan, Indonesia, Nigeria dan Filipina,” katanya lagi.

Dalam operasi selama tiga jam itu, 65 saman trafik turut dikeluarkan kepada pesalah yang melanggar undang-undang jalan raya. -Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.