Malaysia Sapu Bersih Lapan Emas Acara Terjun

Malaysia sapu bersih lapan emas acara terjun

MALAYSIA mendominasi acara terjun Sukan Sea ke-27 apabila menyapu bersih lapan pingat emas acara itu yang menutup tirai di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini, hari ini.

Gandingan Leong Mun Yee/Nur Dhabitah Sabri mengesahkan penguasaan negara di pusat akuatik itu apabila meraih emas acara 10m platform seirama wanita selepas mengutip keseluruhan 281.64 mata daripada lima terjunan.

Pasangan tuan rumah, Nay Chi Su Su/Saw Hla Nandar memenangi pingat perak apabila mengumpul 239.91 mata manakala gangsa milik penerjun Indonesia, Dewi Setyaningshih/Linadini Yasmin dengan 239.46 mata.

Kejayaan kedua-dua penerjun negara itu  menyaksikan Malaysia membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa dalam acara yang berlangsung selama empat hari tersebut.

Sebelum itu, Ooi Tze Liang/Muhammad Nazreen Abdullah mengungguli acara 10m platform seirama lelaki dan pencapaian tersebut membantu negara mencapai sasaran 40 pingat emas dalam temasya kali ini.

Nur Dhabitah, 14, berkata sebelum turun beraksi, beliau yang pertama kali menyertai kejohanan luar dan di Sukan Sea, bimbang jika tidak dapat melakukan terjunan yang baik.

“Mula-mula rasa bimbang sebab berganding dengan Mun Yee yang jauh lebih berpengalaman tetapi selepas terjunan keempat saya bertambah yakin dan boleh buat lebih baik. Malah, terjunan saya lebih baik berbanding ketika latihan,” katanya.

Nur Dhabitah berkata beliau menghadiahkan kemenangan itu kepada abangnya, Muhammad Danial yang tidak dapat bersama-samanya dalam Sukan Sea di sini setelah mengalami jangkitan kuman di telinga dan dinasihatkan doktor supaya berehat di Malaysia.

Muhammad Danial sepatutnya berganding dengan Muhammad Nazreen dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Sementara itu, Mun Yee, 29, berkata beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian emas berkenaan, yang ke-13 buatnya dalam temasya Sukan Sea, walaupun terjunannya tidak begitu sempurna.

“Air kolam terlalu sejuk menyebabkan saya berasa seperti hendak kejang. Ia sedikit menjejaskan terjunan saya,” kata Mun Yee yang diserapkan dalam skuad terjun negara ketika berusia 13 tahun. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.