Datuk Bandar Ditembak Mati

MANILA 20 Dis. – Datuk Bandar selatan Filipina bersama tiga ahli keluarganya, ditembak mati beberapa lelaki bersenjata di bahagian luar Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, di sini hari ini.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Datuk Bandar Labangan, Ukol Talumpa; isterinya, Lea Talumpa; cucunya yang berusia 18 bulan serta anak saudara lelakinya yang berumur 25 tahun.

Turut cedera dalam insiden itu adalah lima lagi ahli keluarga tersebut yang dikenali sebagai Romaida Talumpa, Ronda Lantagan, Mary Anne Lirasan, Amalia Dela Cruz Lirasan dan Dianne Philip Uy.

Menurut sebuah video yang dimuat turun di laman web saluran televisyen tempatan GMA, pengunjung lapangan terbang yang terkejut, menjerit apabila melihat seorang lelaki dipercayai Talumpa terbaring di lantai terminal.

Kejadian itu turut disahkan Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Angel Honrado kepada pemberita.

“Datuk Bandar itu, keluarganya beserta beberapa pengawal pengiring telah diserang,” katanya dalam satu sidang akhbar bersama pegawai polis Manila.

Honrado berkata, Talumpa, isterinya, beberapa ahli keluarganya serta pengawal peribadi ditembak oleh sekurang-kurangnya dua lelaki ketika mereka keluar dari Terminal 3 sejurus tiba dari selatan Filipina.

Jelasnya, dia tidak dapat mengesahkan laporan berita televisyen yang didapati daripada beberapa saksi kejadian kerana dua suspek dilihat memakai pakaian seragam polis.

“Pasukan keselamatan lapangan terbang itu turut mengejar penembak terbabit, namun mereka berjaya melarikan diri dengan menunggang motosikal,” katanya.

Pihak berkuasa masih tidak mengetahui identiti penembak atau motif serangan itu.

Menurut jurucakap kerajaan wilayah Zamboanga del Sur, Leo Santillan, Talumpa yang merupakan ahli Parti Gabungan Nasionalis Rakyat itu terbang ke Manila awal hari ini bersama isterinya, dua anak saudaranya dan enam yang lain.

Talumpa merupakan seorang ahli politik pembangkang yang memenangi kerusi pada pilihan raya umum Mei lalu menentang penyandangnya, Wilson Nandang yang juga sekutu Presiden Filipina, Benigno Aquino III. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.