Malaysia berjaya raih pelaburan besar dari AS – MITI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya memperoleh sejumlah RM63.02 bilion komitmen pelaburan langsung asing (FDI) dari Amerika Syarikat (AS) serta RM2.78 bilion potensi eksport dari Malaysia.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, ia diperoleh ketika Misi Perdagangan & Pelaburan MITI ke AS (TIM USA) dan mesyuarat secara bersemuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan syarikat AS yang diadakan pada 15 November 2023 di San Francisco.

TIM USA, terdiri wakil peringkat tinggi dari MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) diadakan dari 6 hingga 13 November 2023, meliputi Chicago, Seattle dan San Francisco.

Kedua-dua acara itu mengutamakan teknologi tinggi, FDI bernilai tinggi, sementara TIM USA juga memberi tumpuan kepada eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia bernilai tinggi.

Mesyuarat secara bersemuka Perdana Menteri dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovix dan TikTok memperoleh FDI berjumlah RM54.72 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

Malaysia juga sedang giat menarik pemain kenderaan elektrik (EV), termasuk Tesla.

TIM USA, diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperoleh komited FDI RM8.3 bilion daripada Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services dan Lam Research.

Syarikat itu berada dalam sektor seperti aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik (E&E) (termasuk semikonduktor), farmaseutikal, teknologi bateri EV, peralatan perubatan, sains hayat, perkhidmatan awan dan logistik.

Bagi eksport, Canadian Tyre Corporation, Global Agri Trade Corporation dan Unigen Corporation adalah antara syarikat yang komited dengan nilai gabungan sebanyak RM2.78 bilion eksport dari Malaysia.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat berbesar hati lawatan ke AS yang berjaya membawa pulang komitmen FDI baharu berjumlah RM63.02 bilion, dan komitmen eksport RM2.78 bilion dari Malaysia.

Beliau berkata, perkara yang sama penting ialah pengetahuan dan kepakaran yang dibawa oleh syarikat itu untuk meningkatkan kerumitan ekonomi landskap pembuatan Malaysia, seperti yang ditetapkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Ini akan membantu menjana limpahan nilai lebih tinggi perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita, dan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi lebih baik untuk rakyat.

“MITI juga akan memastikan projek FDI yang dicadangkan dipermudahkan dengan betul, melalui platform bertumpu pelaksanaan seperti Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan dan Perdagangan dan Majlis Pelaburan Negara,” lapor BH.

Pada 2022, perdagangan dua hala Malaysia dan AS berjumlah RM267.58 bilion, mewakili peningkatan 23.3 peratus tahun ke tahun.

AS juga adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia akan kongsi, serta destinasi eksport ketiga terbesar.

Produk E&E Malaysia membentuk peratusan terbesar atau 57.4 peratus daripada jumlah nilai eksport ke AS, yang meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mengembangkan sektor bernilai tinggi lain yang juga banyak bergantung pada cip dan semikonduktor.

Sehingga 2022, nilai bersih FDI Malaysia dalam stok dari AS ialah RM100.84 bilion, dengan RM77.74 bilion (77.1 peratus) daripada jumlah itu disumbangkan oleh sektor pembuatan.

Bagi tempoh 1980 hingga Jun 2023, sejumlah 1,295 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat AS telah diluluskan, dengan jumlah pelaburan bernilai RM123.58 bilion dan menjana pekerjaan kepada 308,310 orang di Malaysia.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat