Wee Ka Siong Soal Menteri Berkaitan Tender Projek RM1.4 Bilion dan Pemimpin Parti Amanah

KUALA LUMPUR – Amalan salah guna kuasa didakwa berlaku susulan tindakan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka, membabitkan nilai lebih RM1 bilion.

Ia merangkumi dua projek pembekalan input pertanian sektor padi bernilai RM1.4 bilion serta membekal, penghantaran dan kerja pengkapuran membabitkan kontrak bernilai RM54.28 juta.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mendakwa kontrak pembekalan selama tiga tahun itu dibatalkan walaupun sudah diluluskan Lembaga Perolehan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Memberi gambaran menularnya bibit kronisme, beliau berkata, pembatalan itu dibuat selepas kementerian dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) secara rundingan terus.

“Persoalannya, kenapa pembatalan (tender) dibuat apabila penender menunggu Surat Setuju Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan bukannya dibuat sejak awal proses berkenaan?

“Rentetan pembatalan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Salahuddin Ayub) mengeluarkan surat kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk memohon lantikan terus kepada NAFAS pada 7 November lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong turut mempersoalkan sama ada Salahuddin tidak mempercayai keputusan dipersetujui Lembaga Perolehan kementeriannya, selain memerlukan campur tangan Dr Mahathir dalam perkara itu.

“Apakah justifikasi Perdana Menteri buat begitu jika sudah tahu NAFAS kalah tender?

“Adakah penganugerahan kontrak kepada NAFAS ini mempunyai kaitan dengan pimpinan pertubuhan itu yang terdiri daripada pimpinan dan lantikan politik, khususnya daripada Parti Amanah Negara (AMANAH)?

“Adakah ini kronisme yang diamalkan kerajaan baharu?

“NAFAS juga didapati membuat tempahan bilik di Pontian sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan semua penghuni didapati memakai baju jingga, selepas mendapat kontrak berkenaan,” katanya.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang diberi laluan mencelah, menyokong apa yang diperkatakan Ka Siong dan menuntut penjelasan Salahuddin.

“Ini perkara serius dan boleh menjejaskan integriti kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Awang Hashim (PAS-Pendang) yang turut mencelah, mempersoalkan sama ada Salahuddin cuba mengheret Perdana Menteri untuk mengesahkan perkara yang dikatakan menjurus kepada rasuah.

Perbahasan Presiden MCA itu terus mendapat perhatian dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) ketika mencelah, bertanya sama ada pendedahan itu adalah punca isu pengagihan benih padi subsidi belum selesai, selain mendakwa harga pasarannya melambung daripada RM28 ke RM50.

Sebelum mengakhiri perbahasannya, Ka Siong membawa keluar beberapa helai kertas dan membacakan beberapa nama pengurusan tertinggi NAFAS termasuk Pengerusinya yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.