Mesyuarat 132 Ketua AMK Cabang Tak Sah, Azmin Tak Diiktiraf Rasmi Kongres – Ketua AMK

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat tidak mengiktiraf ‘mesyuarat’ sekumpulan anggota sayap parti itu di Shah Alam semalam, yang dianjurkan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham.

Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menjelaskan keputusan pertemuan semalam kononnya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tetap merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Melaka pada 5 Disember ini, tidak mewakili AMK.

Akmal Nasrullah menyifatkan pertemuan semalam yang didakwa dihadiri 132 Ketua Cabang AMK, hanya sesi ceramah bagi menyatakan pandangan mereka kerana dibuat tanpa mengikut peraturan parti.

“Kalau nak buat mesyuarat, notis perlu dikeluarkan dua minggu oleh setiausaha, kemudian kehadiran perlu cukup korum.

“Mana ada (mesyuarat rasmi) bagi notis satu hari dan bukan dikeluarkan oleh setiausaha?

“Isu seolah-olah pertemuan itu mesyuarat AMK adalah tidak benar, bagi saya itu nak berceramah. AMK tak boleh ikut sesetengah pihak buat mesyuarat di rumah.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK adalah berdasarkan notis yang kita dah keluarkan, iaitu pada Ahad, 24 November. Itu mesyuarat yang kita susun secara bulanan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas keputusan ‘Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK’ anjuran Muhammad Hilman di Shah Alam semalam, yang memutuskan Mohamed Azmin tetap merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Melaka pada 5 Disember ini.

Isu perasmi kongres terbabit menjadi kontroversi selepas jemputan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dibatalkan dan diganti dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas penegasan Muhammad Hilman yang mahukan Mohamed Azmin kekal merasmikan kongres itu, Akmal Nasrullah menyatakan kesediaan Majlis Pimpinan AMK membincangkan pandangan itu.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia perlu menyuarakannya dalam mesyuarat rasmi Ahad ini.

Ketika ini, Akmal Nasrullah menegaskan, isu berhubung perasmian kongres kekal seperti diputuskan dalam mesyuarat sebelum ini, yang memilih Dr Wan Azizah sebagai perasminya.

“Keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK adalah muktamad. Sebarang ketidakpuasan hati, (suarakan) Ahad ini dalam mesyuarat MPP terakhir sebelum kongres,” katanya.

MPP bermesyuarat lapan kali tahun ini dan Muhammad Hilman hanya hadir sekali.

Berhubung dakwaan Muhammad Hilman yang mendapat sokongan 132 Ketua Cabang AMK, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, menyifatkan angka itu tidak kelihatan jika dilihat dalam laporan media berhubung pertemuan semalam.

Beliau turut terbuka jika ada pihak yang mahu membawa isu keengganan Muhammad Hilman dan pasukannya akur dengan keputusan rasmi AMK, ke Lembaga Disiplin PKR.

“Mesyuarat minggu ini akan luluskan untuk mendedahkan senarai kehadiran mesyuarat dalam kongres, dan jika ada keperluan untuk serahkan senarai tidak hadir terlalu lama pada Lembaga Disiplin parti,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.