Kebanyakan Netizen Sokong Langkah Rehatkan Sebentar Safawi Rasid

Kebanyakan pelayar maya (netizen) berpendapat Safawi Rasid wajar digugurkan daripada skuad Sukan Sea 2019 atas alasan kepenatan berikutan jadual padat tahun ini.

Keputusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat dalam laman Facebook dan Twitter Harian Metro dalam tempoh 24 jam berakhir jam 10 pagi tadi.

Seramai 51,000 pelayar mengambil bahagian dalam bancian Facebook bertajuk: ‘Wajarkah bintang bola sepak negara, Safawi Rasid digugurkan daripada skuad Sukan Sea atas alasan kepenatan berikutan jadual padat tahun ini?’

Sebanyak 65 peratus iaitu 33,150 orang mengatakan ‘ya’ untuk bintang Harimau Malaya itu direhatkan manakala 35 peratus lagi mengatakan ‘tidak’.

Menerusi undian Twitter HM sebanyak 64 peratus (704 orang) mengatakan ‘ya’ manakala bakinya, 36 peratus (396 orang) ‘tidak’.

Undian itu turut menerima pelbagai reaksi berdasarkan maklum balas ditinggalkan di ruangan komen.

Pengikut FB, Che Daud berpendapat, ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee prihatin terhadap kebajikan Safawi dalam membuat keputusan.

“Terbaik JL (jurulatih) OKS, anda sangat memahami jadual yang sangat padat,” katanya.

Pengikut dikenali sebagai Ferdauz Schay berpendapat wajar Safawi direhatkan untuk mengelak mengalami kecederaan sekali gus merugikan skuad kebangsaan dan kelab diwakilinya.

“Orang tamak selalu rugi. Jangan nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Kejayaan tak dapat, kecederaan yang datang nanti. Dia bukan robot,” katanya.

Sementara itu, Daeng Mokhtar Abdul Halim pula mahu Sapawi diberi peluang ke Sukan Sea di Filipina dan menambah koleksi pingat dimilikinya.

Katanya, Safawi wajar mencontohi bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang memiliki pelbagai koleksi pingat termasuk juara Piala AFC, juara Piala AFF dan Sukan Sea.

“Nak (Sapawi) jadi pemain paling berjaya seperti Safiq… setiap kejohanan yang disertainya perlu ada sebagai koleksi. Selain semua kejohanan domestik sudah dikecapinya, pingat emas Sukan Sea dan juara AFF antara koleksi beliau.

“Sebab itulah Safiq menjadi pemain paling berjaya ketika ini. Sapawi boleh ikut jejak langkah dia jika Sukan Sea tahun ini disertainya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!