Terpaksa Batal Program Isham Rais Kerana Bertembung Dengan Program Pelajar – UKM

SHAH ALAM – Susulan kenyataan aktivis Hishamuddin Rais yang menyatakan kekesalan ekoran didakwa dihalang daripada memberi kuliah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pihak institusi itu kemudian tampil memberikan penjelasan.

Sambil menafikan dakwaan Hishamuddin itu, Naib Canselor UKM Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sebaliknya program melibatkan aktivis itu terpaksa dibatalkan kerana tempat ia diadakan sudah ditempah oleh sekumpulan pelajar lain.

“Kami menggalakkan tetapi semua program pelajar perlu didaftarkan dengan betul, terutama jika melibatkan jemputan dari luar.

“Ia untuk memastikan perkara seperti ini dapat dielakkan. Ada kala banyak pihak yang mahu menggunakan sesuatu tempat pada waktu yang sama.

“Kami mahu memastikan keselamatan dalam keadaan baik, dan ada orang yang bertanggungjawab terhadap program yang diadakan. Sekurang-kurangnya kita ada maklumat (program),” katanya dipetik Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas program aktivis sosial itu yang dijadual berlangsung di Sudut Pidato UKM di Bangi, Selangor, pada 8.30 malam tadi, tetapi dibatalkan pihak pentadbiran.

Tambah Noor Azlan lagi, UKM tiada masalah untuk membenarkan Hishamuddin atau lebih dikenali sebagai Isham Rais untuk berucap di dalam kampusnya, yang dalam masa sama mahu menyahut saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar universiti terbuka dengan wacana.

“Hanya kita perlukan sedikit proses untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, memetik The Malaysian Insight, jurucakap penganjur Mohamad Azan Safar mengaku tidak memaklumkan program itu kepada pentadbiran UKM tetapi berkata ia telah diadakan sebanyak dua kali pada tahun ini tanpa masalah.

“Kami memang tidak maklum secara rasmi, kita anggap ia tidak lebih daripada diskusi wacana ilmu,” petik kata beliau.

Terdahulu Hishamuddin dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal kerana program seperti itu masih disekat dalam era ‘Malaysia baru’.

“Universiti adalah tempat segala bentuk ilmu dibentang, dibincang, ditolak atau diterima,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.