Nabil Kesal Vida Ambil Kesempatan Dari Publisiti Kisah Hutang

KUALA LUMPUR – Pengacara, Nabil Ahmad, akui menyesal membuka mulut mengenai hutang tertunggak seorang usahawan kosmetik kerana tindakannya itu dianggap secara tidak langsung memberi promosi kepada individu terbabit.

Nabil, 35, berkata dia terkejut apabila usahawan berkenaan mengambil kesempatan mengajak netizen menyertai kelas perniagaan kelolaannya selepas didakwa menimbulkan fitnah terhadap dirinya.

“Saya menyesal membuka mulut mengenai hal (hutang) terbabit kerana dia menggunakan peluang itu untuk mengajak orang ramai menyertai kelas yang dikendalikan olehnya. Tidak sangka, dia menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan publisiti secara mudah, tanpa perlu mengeluarkan duit.

“Sudah dua tahun sebenarnya saya berusaha meminta dia membayar hutang berjumlah RM30,000, namun tidak diendahkan olehnya. Saya enggan lagi memanjangkan perkara ini kerana bagi saya, urusan kami sudah selesai. Selebihnya adalah (urusan) antara dirinya dengan Tuhan,” katanya kepada BH Online.

Dakwa Nabil, dia tidak tahu apa tujuan sebenar usahawan terbabit menabur fitnah dengan mengatakan dirinya dan teman seperjuangan, Jihan Muse, tak mengendahkannya.

“Tuduhan itu membuatkan saya tergerak hati untuk membuka mulut,” katanya.

Isu hutang berkenaan dibangkitkan pengacara yang juga pelawak dan pelakon terkenal itu selepas seorang usahawan wanita mendakwa Nabil dan Jihan tidak menegurnya ketika dia menghadiri acara konsert akhir sebuah program realiti, Ahad lalu.

Nabil turut meluahkan rasa simpati kepada penaja utama program terbabit apabila perhatian orang ramai dikatakan terarah kepada pihak lain.

“Jika boleh, saya enggan lagi membuka mulut mengenai perkara ini kerana tidak mahu memberikan publisiti mudah kepada pihak terbabit. Orang lain yang mengeluarkan wang, tetapi tumpuan diberikan kepada pihak lain pula,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.