VIDEO: Gagasan Kuasa Tiga (G3) Isytihar Perang Terhadap DAP

Oleh: Shuhaniza Said

AMPANG – Sebuah gabungan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Kuasa Tiga (G3) hari ini mengisytiharkan perang terhadap DAP sebagai musuh utama umat Islam di negara ini, susulan sikap parti itu yang lantang membangkitkan isu berkaitan agama Islam, Institusi Diraja serta hak-hak orang Melayu mutakhir ini.

Menurut Pengerusi G3, Raggie Jessy, beberapa isu yang berbangkit kebelakangan ini, khususnya cadangan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sebenarnya didalangi oleh DAP.

Justeru kata beliau, matlamat utama penubuhan G3 adalah untuk bertindak sebagai kuasa ketiga (third force) ekoran kelemahan kerajaan sedia ada menangani isu yang dibangkitkan oleh DAP melibatkan tiga perkara utama tersebut.

“G3 ditubuhkan sebab kelemahan kerajaan sedia ada untuk perjuangkan hak Melayu, agama Islam dan Institusi Raja-raja. Tujuannya untuk memelihara dan pastikan apabila kelompok (kerajaan) ini gagal, kita akan pastikan perkara ni dipelihara.

“Terdapat ura-ura bahawa ada usaha tertentu kerajan nak tubuh negara ala republik. Kita lihat ia menjurus ke arah itu. Kerajaan sendiri tak hormat institusi Diraja sebab wujudnya bangsa DAP ini.

“Kita memang yakin ini semua angkara DAP kerana kerajaan persekutuan terlalu bergantung kepada DAP untuk terus memerintah. DAP sedang bermaharajalela. Mereka meminta lebih daripada kerajaan. Kita tidak melihat kelompok politik dan Melayu Islam ke depan, sebab itu kita ke depan. 

“Kita akan bergerak secara agresif untuk pertahan institusi Diraja. Kita juga mahu menyatukan ummah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan ICERD, jelas Raggie, ia sememangnya dibangkitkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang yang mempunyai agenda tertentu yang berselindung di atas nama ‘penghapusan segala bentuk diskriminasi Kaum’.

“ICERD kalau kita lihat terdapat ramai pihak yang buat kenyataan. Kita ada ketua hakim yang buat kenyataan di mana ada perkara apa di dalam perlembagaan, dan ia (ICERD) bercanggah dengan perlembagaan.

“Ada yang terlepas pandang. DAP sengaja bangkit isu ICERD. Ia dibangkitkn oleh Lim Kit Siang, dia bapa perkauman di negara ini. Dia bawa agenda ala-ala Zionis di negara ini. Mereka kata ini isu perkauman tapi bagi saya ia isu agama kerana negara kita unik. Ia satu bentuk diskriminasi kaum dan secara tak langsung ia libatkan agama,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata, G3 tidak berkaitan dengan penglibatan mana-mana parti politik, namun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti yang sehaluan.

Sehingga kini, sebanyak 57 NGO yang secara rasmi bernaung di bawah G3, di mana ia menjangkakan penglibatan sehingga 300 NGO dalam jangka masa selama tiga bulan.

Sementara itu Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Nor yang juga bekas ahli seumur hidup DAP berkata, usaha bagi mengekang kemaraan parti cauvinis itu perlu digerakkan secara tuntas sebelum ia menghancurkan negara.

“Sebagai bekas ahli DAP seumur hidup, saya tahu ia tak akan berhenti setakat itu saja. Selepas ni ada lagi isu-isu lain yang akan menuntut dan menghakis hak-hak orang Melayu. Ia akan diambil DAP dan di situ wujud keperluan untuk kita bergabung menentang dan menghapuskan DAP. 

“Kita akan hancurkan DAP sebelum DAP menghancurkan negara kita. Untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang, DAP tidak bagus untuk Malaysia,” katanya.

Di dalam sidang media itu juga, G3 mengumumkan untuk mengadakan siri jerayawara (roadshow) ke seluruh negara, yang akan bermula minggu hadapan di Ukay Perdana. 

Gabungan itu juga menyatakan komitmen untuk turun padang menyertai himpunan gergasi bersama UMNO dan PAS pada 8 Disember ini. -SuaraTv 

One thought on “VIDEO: Gagasan Kuasa Tiga (G3) Isytihar Perang Terhadap DAP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.