Empat Warga Finland Edar Pen, Risalah Bible Ditangkap

LANGKAWI – Empat warga Finland ditahan polis pada Selasa di sebuah hotel selepas disyaki mengedar pen dan buku tertera pernyataan dari bible.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan tangkapan itu hari ini berkata kesemua suspek, berumur antara 27 dan 60 tahun itu ditahan sepasukan polis untuk disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Kanun Keseksaan.

Ketika tangkapan, polis menemui 47 batang pen dan 336 naskah buku kecil yang mengandungi kenyataan-kenyataan yang dipetik dari bible yang dipercayai cuba diedarkan kepada orang ramai di sini.

“Tangkapan ini dibuat susulan tiga laporan polis yang kami terima daripada orang ramai berhubung kegiatan suspek berkenaan yang berada di sini sejak 18 Nov lepas,” katanya kepada media menurut laporan Bernama hari ini.

Tambah beliau polis telah memohon perintah reman ke atas kesemua suspek bagi meneruskan siasatan yang turut melibatkan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau memudaratkan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara dua dan lima tahun.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.