Edar Petikan Bible Di Langkawi, Polis Tahan Empat Warga Finland

LANGKAWI – Sepasang suami isteri antara empat warga Finland yang ditahan di sini, petang semalam kerana mengedar buku nota dan pen mengandungi petikan Bible.

Dalam kejadian 5 petang itu, keempat-empat suspek berusia antara 27 hingga 60 tahun ditahan di sebuah hotel selepas polis menerima aduan orang awam yang curiga dengan kegiatan mereka.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pengadu memaklumkan keempat-empat suspek dilihat mengedarkan bahan keagamaan itu kepada kakitangan dan peniaga di premis perniagaan sekitar Jalan Pantai Chenang pada jam 10.30 malam, Ahad lalu.

“Berikutan itu, polis menahan empat-empat suspek di hotel penginapan mereka untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, polis turut merampas 336 buku nota mempunyai petikan Bible, 47 pen dan dua bagasi.

“Sehingga kini polis menerima tiga laporan berkaitan perkara itu dan difahamkan semua suspek tiba di Langkawi pada Ahad lalu dan dijadual pulang esok.

“Siasatan awal mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana kesalahan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Suspek turut disiasat mengikut Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63 Langgar Syarat Pas dan Permit. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.