“Cukuplah Cakap Pasal 1MDB,” Pemimpin UMNO Johor Tegur Lokman Adam, Tun Faisal

SHAH ALAM – Seorang pemimpin UMNO Johor meminta Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JASA, Tun Faisal Ismail agar tidak lagi ‘memanjangkan’ isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Teguran itu disuarakan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday, sebagai respon kepada satu program Live FB yang menampilkan Lokman dan Tun Faisal membincangkan topik ‘Benarkan Kes 1MDB Sudah Diputuskan Di Amerika?’ petang tadi. 

Ujar Md Jais, tindakan berkenaan hanya akan membuatkan rakyat bertambah meluat dengan UMNO. 

“Wahai Sdr @LokmanAdam dan Sdr @tunfaisal, cukuplah.. janganlah nak bercakap lagi pasal 1MDB, rakyat (org awam) akan tambah mual & meluat dgn UMNO.. dalam minda rakyat, mereka sayang UMNO, tapi kena bangkit dengan pimpinan yang bijak, pintar & berintegriti,” tulisnya di Twitter.

Program Live FB itu disiarkan di Facebook Lokman jam 5 petang tadi.

Tweet tersebut turut diulang kicau (retweet) oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini Md Jais pernah meminta Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menasihatkan Lokman supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan kurang bijak pada masa akan datang yang menyebabkan orang awam bertambah meluat dengan UMNO.

Ia berikutan tindakan Lokman yang ‘menyerang’ Khairy susulan kenyataan mantan Ketua Pemuda UMNO itu yang mengatakan punca kekalahan UMNO pada PRU14 adalah disebabkan isu 1MDB.

Lokman berkata, kekalahan UMNO disebabkan parti itu mempunyai seorang Ketua Pemuda (Khairy) yang bodoh kerana langsung tidak membantu memberi penerangan kepada rakyat untuk memahami isu tersebut.

Khairy kemudian membalas ‘serangan’ Lokman dengan mengatakan beliau akan memecat Lokman sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kerana mempunyai IQ tahap lobak. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.