“Bukan Larang, Tapi Kena Ikut Prosedur,” Maszlee Jawab Isu Pembangkang Dilarang Masuk Sekolah

SHAH ALAM – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan beliau ada mengeluarkan kenyataan yang melarang ahli politik pembangkang daripada memasuki sekolah.

Dalam satu temubual bersama Astro Awani malam tadi, Maszlee yang ditanya mengenai perkara itu menjelaskan bahawa kenyataan sebenar beliau adalah ahli politik pembangkan boleh masuk ke sekolah dengan keizinan tetapi mereka perlu memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

“Saya ditanya oleh (Ahli Parlimen) Tanjong Karang, adakah boleh ahli parlimen pembangkang boleh masuk ke sekolah.

“Saya kata, mereka boleh masuk ke sekolah dengan keizinan tetapi mereka perlu memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri. Ini berbeza, membuat permohonan kepada Pejabat Pendidikan Negeri dengan melarang. Kita tak larang. Mereka nak masuk tapi kena ikut prosedur.

“Saya minta BERSIH dan lain-lain lihat kepada hansard parlimen…rakaman ucapan saya di parlimen,” kata beliau. 

Malah Maszlee berkata, arahan mengenai perkara itu adalah berdasarkan satu pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

“Sudah ada pekeliling mengenainya. Biasanya pihak kerajaan, pihak pendidikan negeri yang akan buatkan permohonan untuk mereka kerana mereka  sebagai pemerintah di negeri tersebut ataupun pusat.

“Bagi pembangkang pula, buat permohonan, dan kita takkan ‘reject’ pun. Cuma kita minta ikut pekeliling yang dibuat oleh kerajaan yang lama pun. Cuma yang kata kita larang, saya kira ia sikap kurang teliti,” katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen UMNO mempertikaikan kenyataan Maszlee berhubung perkara itu dan meminta Maszlee tidak menyalahgunakan kuasa.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, larangan tersebut merupakan salah satu penyelewengan kuasa, selain ia membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan yang mundur ke belakang. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dengan nada sarkastik melemparkan sindiran ditujukan kepada kenyataan Maszlee itu.

“Ingat Malaysia baharu tiada larangan dah,” tulisnya di dalam Twitter.

BERSIH 2.0 pula meminta Maszlee untuk menarik semula kenyataan beliau dengan mencadangkan supaya satu dasar baharu yang tidak berat sebelah dilaksanakan sekiranya timbul kebimbangan ketika ahli politik memasuki sekolah, dan ia perlu terpakai kepada ahli politik daripada semua parti. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.