BERSIH 2.0 Desak Maszlee Tarik Arahan Halang Pembangkang Ke Sekolah

KUALA LUMPUR: BERSIH 2.0 mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menarik balik arahan mewajibkan ahli politik pembangkang mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan sebelum memasuki sekolah kerajaan.

Jawatankuasa Pemandu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan mencadangkan supaya dasar baharu yang tidak berat sebelah dilaksanakan sekiranya timbul kebimbangan ketika ahli politik memasuki sekolah.

“Sekiranya terdapat kebimbangan terhadap ahli politik yang memasuki sekolah, maka perlu ada dasar untuk semua ahli politik tanpa mengira daripada parti mana.

“Kami tidak mempersoalkan hak kementerian untuk mengenakan dasar atau memberi garis panduan untuk melindungi sekolah daripada sebarang pengaruh negatif, tetapi kita mempersoalkan pelaksanaan dasar yang berat sebelah,” katanya.

Maszlee turut diingatkan, tindakan membezakan Ahli Parlimen pembangkang yang dipilih secara demokrasi dianggap seperti tidak menghormati kehendak pengundi di kawasan berkenaan.

“Dalam demokrasi pelbagai parti, pengundi berhak memilih wakil daripada parti yang bertanding dan mereka tidak wajar dinafikan khidmat oleh wakil rakyat yang terpilih walaupun wakil itu di pihak pembangkang selepas pilihan raya berlalu,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak pembangkang semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) sering mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan memasuki sekolah awam, sedangkan wakil rakyat BN dibenarkan.

“Persoalannya kini adakah kerajaan baharu akan berbuat perkara yang sama kepada pembangkang apa yang mereka lawan dulu semasa mereka masih bergelar pembangkang?

“Sudah menjadi kebiasaan untuk pihak sekolah menjemput Ahli Parlimen di kawasan mereka menghadiri acara di sekolah.

“Sekiranya kerajaan bimbang mesej yang dibawa oleh ahli politik tidak sesuai untuk suasana persekolahan dan pendidikan, kerajaan sepatutnya menetapkan panduan untuk semua ahli politik yang ingin menziarahi sekolah,” katanya.

Semalam, Maszlee ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2019 di Parlimen berkata berkata, Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Katanya, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit mendakwa beliau tidak dibenarkan masuk ke sekolah milik kerajaan bagi menghadiri program tanpa sebarang alasan kukuh.

Sabri berkata, beliau kesal dengan tindakan diskriminasi itu yang disifatkannya sebagai tidak sepatutnya berlaku. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.