Restoran Hidang Daging Musang, Kucing Hutan

TELUPID – Daging musang dan kucing hutan antara makanan eksotik daripada haiwan dilindungi yang dirampas Jabatan Hidupan Liar di sebuah restoran di Kampung Wonod, di sini, semalam.

Rampasan membabitkan 27.6 kilogram (kg) daging haiwan dilindungi itu dilakukan enam anggota Jabatan Hidupan Liar Sandakan susulan pemeriksaan terhadap restoran berkenaan, jam 1.45 tengah hari, lapor BH.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussien Muin, berkata rampasan membabitkan 5.4 kg daging rusa, 2.2 kg tulang rusa, 1.2 kg daging kucing hutan, 2.4 kg daging musang, 2 kg daging babi hutan, 10.2 kg bangkai labi-labi serta 6.6 kg daging labi-labi.

“Susulan rampasan itu, kita menahan seorang wanita berusia 57 tahun yang juga pemilik restoran bagi membantu siasatan dan laporan polis mengenainya juga sudah dibuat.

“Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Hussien berkata, semua hasil rampasan dibawa ke stor penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sandakan di Sepilok untuk tindakan lanjut.

Beliau juga mengingatkan orang ramai sentiasa memberi kerjasama agar melaporkan kepada pihaknya sekiranya mendapati ada restoran menjual daging haiwan dilindungi.

“Kita juga berharap setiap restoran yang ingin menjual daging haiwan dilindungi agar mendapatkan permit yang sah daripada Jabatan Hidupan Liar bagi mengelak tindakan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.