Pemain Kedah Kecewa Gagal Bersaing Dalam Piala AFC

KUALA LUMPUR – Pemain-pemain Lang Merah kini menangisi nasib malang yang menimpa mereka setelah peluang untuk beraksi dalam Piala AFC diserahkan kepada pasukan lain.

Kedah sepatutnya bersaing dalam Piala AFC tahun depan atas tiket mereka adalah juara Piala FA. Namun peluang itu berpindah kepada Pahang – pasukan yang mereka kalahkan dalam perlawanan akhir Mei lalu kerana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal mendapatkan lesen Piala AFC, lapor Utusan.

Kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menghantar penyata kewangan yang siap diaudit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh badan induk tersebut telah menjadi punca Kedah tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam kejohanan itu.

Pemain sayap Mohd. Syazwan Zainon tanpa berselindung memberitahu dia berasa terkilan dan kecewa dengan perkara yang menimpa pasukannya sehingga menyebabkan dia terlepas peluang untuk bermain di peringkat lebih tinggi.

Syazwan yang lebih dikenali Wan Karpet, berkata Piala AFC merupakan peluang terbaiknya untuk beraksi dalam pertandingan kelab lebih tinggi buat kali pertama namun di­sebabkan masalah tertentu dia terpaksa melupakan hasratnya. Bagaimanapun Syazwan enggan mengulas lanjut mengenai kegagalan KFA mendapatkan lesen tersebut.

“Saya tidak menafikan perasaan terkilan dan kecewa itu sudah pasti ada pada setiap pemain kerana kami tidak dapat beraksi dalam kejohanan tersebut. Jika tidak saya bakal membuat penampilan pertama dalam Piala AFC.

“Bagaimanapun, saya tidak salahkan mana-mana individu. Memang sudah menjadi sasaran kami untuk bermain dalam Piala AFC pada musim depan tetapi perkara sebaliknya pula berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Tambah pemain berusia 28 tahun itu, meskipun segala usaha mereka untuk melayakkan diri ke Piala AFC secara merit hancur begitu sahaja namun katanya dia dan rakan sepasukan akan ber­usaha sebaik mungkin lagi musim depan untuk menempah tiket ke kejohanan tersebut.

“Saya bermain bola sepak sebagai punca rezeki utama saya dan sudah pasti saya akan bermain dengan bersungguh-sungguh pada musim depan walaupun tidak dapat beraksi dalam Piala AFC. Saya juga akan ber­usaha untuk membantu pasukan sekali lagi menempah tiket ke kejohanan itu.

“Saya tidak akan patah semangat. Jika beraksi dalam kejohanan itu kami berpeluang membuka mata kelab luar,” katanya lagi.

Sementara itu, kapten Lang Merah, Khairul Helmi Johari berkata walaupun pemain-pemain kesal dengan apa yang berlaku namun mereka perlu me­nerimanya dengan hati terbuka sambil mengharapkan kejadian ini dapat dijadikan pengajaran.

“Perasaan ralat itu memang ada sebab kita sudah ada peluang untuk bermain dalam Piala AFC, tambahan pula musim depan Kedah bakal menampilkan ramai pemain muda dan mereka boleh menimba pengalaman seandainya bermain dalam kejohanan tersebut tetapi perkara sebaliknya pula berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.