Singapura Ikut Malaysia, Tidak Anjur F1 Selepas 2017

PETALING JAYA – Selepas Malaysia, kini Singapura pula dilaporkan mungkin tidak akan meneruskan penganjuran Grand Prix Formula 1 (F1) selepas kontraknya tamat pada 2017.

 

Ketua Eksekutif F1, Bernie Ecclestone yang dipetik majalah Jerman Auto Motor Und Sport semalam berkata, Singapura mungkin tidak akan meneruskan penganjuran F1 kerana ia sudah mencapai matlamatnya melalui Grand Prix.

 

Beliau berkata, penganjuran F1 menelan belanja besar, tetapi ia juga membawa pulangan banyak.

 

“Singapura tiba-tiba menjadi lebih daripada sekadar sebuah lapangan terbang. Sekarang, mereka percaya sudah mencapai matlamat dan tidak mahu anjur Grand Prix lagi,” katanya.

 

Seorang jurucakap GP yang dihubungi Channel NewsAsia berkata: “Kami tidak komen rundingan komersial berterusan.”

 

September lalu, Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, S Iswaran dilaporkan berkata, tiada keputusan dibuat untuk melanjutkan kontrak penganjuran F1, walaupun rundingan sedang berlangsung.

 

Jualan tiket F1 tahun ini terendah sejak 2008 dengan penurunan sebanyak 15%, di mana purata 73,000 penonton setiap hari dan keseluruhan 219,000 penonton hadir di Litar Jalan Marina Bay sepanjang 3 hari perlumbaan.

 

Akhir bulan lalu, media tempatan melaporkan Malaysia mempertimbangkan untuk menghentikan penganjuran perlumbaan F1 selepas tamat kontrak pada 2018, disebabkan kemerosotan jualan tiket dan tontonan televisyen.

 

Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dilaporkan berkata, jualan tiket F1 merosot sejak 2014 dan laporan awal menunjukkan kadar tontonan televisyen di Malaysia tahun ini terendah dalam sejarah. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.