Tak boleh suruh parti lain keluar Pakatan – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS tidak melihat kritikan secara terbuka antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat boleh menyelesaikan perbezaan pendapat yang berlaku.

Sebaliknya kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebarang perbezaan pendapat terhadap sesuatu perkara itu wajar dilontarkan melalui mesyuarat Pakatan Rakyat.

“Semua parti perlu menjaga batas parti masing-masing. Tidak boleh untuk kritik parti lain apatah lagi secara terbuka.

“Seperti contoh, DAP tak boleh kritik PAS dan PAS juga tidak boleh kritik DAP.

“Sebarang perbezaan pendapat, bawa ke mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya kepada Harakahdaily.

Tak boleh suruh keluar PR

Dalam pada itu, beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar hari ini kononnya menggambarkan beliau menggesa DAP keluar Pakatan Rakyat.

Menurutnya, laporan itu dipetik di luar konteks sebenar dari apa yang dinyatakan beliau.

“Saya sebut, setiap parti tak boleh suruh parti lain keluar dari PR, tetapi jika parti itu sendiri sudah berasa tidak selesa, maka parti itu sendiri boleh keluar.

“Ini kerana dalam PR tidak ada borang keluar, hanya ada borang masuk. Kecuali parti itu sendiri nak tarik diri, itu hak parti itu. Tak boleh suruh orang keluar,” ujar beliau.

Beliau juga menjelaskan, DAP pernah mengambil tindakan menarik diri selepas mereka menyertai Barisan Alternatif sebelum 2004.

-Harakah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.