Polis Siasat Briged PPPM

Kuala Lumpur – Polis sedang menyiasat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Briged Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) kerana didapati menggunakan kenderaan mirip kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Peta­ling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menjalankan siasatan itu selepas seorang anggota pa­sukan kereta peronda polis membuat laporan mengenai kehadiran kenderaan yang digunakan NGO itu di sebuah kawasan Seksyen 17, Petaling Jaya, Se­langor baru-baru ini.

Mengikut laporan itu, anggota polis terbabit mendapati kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki ahli NGO tersebut menggunakan corak petak-petak warna ku­ning dan biru yang seakan-akan sama dengan kereta peronda polis.

“Memang betul kita minta dia serahkan kenderaan itu ke balai polis Petaling Jaya, (memandangkan cawangan) persatuan ini (didaftarkan) di sini.

“ Kita sedang menjalankan siasatan ke atas aktiviti pertubuhan ini dan belum ada laporan polis mengenai kekeliruan ini, bagaimanapun pihak kami sedang menyiasat kesalahan yang mungkin dilakukan pihak ber­kenaan (Briged PPPM),” katanya ketika dihubungi SuaraTV.

Menurut Azmi NGO tersebut telah menyerahkan dua unit kenderaan ke balai polis Isnin lalu untuk membantu siasatan dan akan disiasat di bawah Akta Pertubuhan dan juga Akta Pengangkutan

Beliau turut menafikan khabar angin kononnya pihak polis telah menyerahkan kembali kenderaan tersebut yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Majiis Keselamatan Negara.

“Kalau di PJ, khabar tersebut tak betul kerana saya tidak pernah dimaklumkan mengenainya dan menurut pegawai saya persatuan ini telah dah wujud agak lama.

“Jadi perkhabaran yang mengatakan kita pernah tahan dan serah semula itu tak betul, tapi sekiranya ia berlaku ditempat lain saya tak tahu” ujarnya lagi.

Briged PPPM ditubuhkan Julai lalu bertujuan mengawasi kawasan perumahan di seluruh negara yang didakwa mempunyai masalah jenayah.

Setiap ahli Briged akan memakai pakaian sera­gam berwarna hitam serta lambang pangkat seakan-akan pasukan keselamatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.