Pekerja Berhak Menuntut Minimum Jika Syarikat Ingkar Laksanakan

Kuala Lumpur – Pekerja yang belum menerima gaji minimum seperti ditetapkan kerajaan berkuat kuasa Januari tahun ini, berhak menuntut bayaran tersebut daripada majikan mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Mutalib berkata, tuntutan boleh dibuat di bawah kes buruh melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang akan menyiasat dan mengambil tindakan berhubung isu berkenaan.

“Sekiranya majikan gagal membuktikan bayaran gaji minimum telah dibuat kepada pekerja yang menuntut, perintah akan dikeluarkan kepada majikan agar membayar tunggakan gaji yang dituntut,” katanya menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Abdullah Sani ingin tahu tindakan yang akan dikenakan terhadap syarikat yang tidak melaksanakan gaji minimum tersebut.

Ismail berkata, sehingga 31 Oktober tahun ini, 970 tuntutan kes buruh berkaitan kegagalan majikan mematuhi arahan pelaksanaan gaji minimum telah diterima dari seluruh negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon berkata, kerajaan melalui Majlis Kelapa Sawit Malaysia akan melaksana beberapa langkah mengkaji dan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Perdagangan di mana-mana negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap minyak sawit.

“Misalnya seperti melabel makanan tertentu dengan ‘No palm oil’ yang akan memberi kesan tidak baik,” katanya menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) yang ingin tahu usaha kerajaan menangkis kempen anti sawit yang dilakukan di beberapa negara luar.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.