Mahkamah Tetapkan 17 Disember Untuk Sebutan Semula Kes Pesta Bogel

Balik Pulau – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Dis untuk sebutan semula kes empat individu yang didakwa menyertai pesta bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas peguam L. Raj yang hadir mewakili peguam tertuduh, memohon tarikh lain bagi sebutan kes terbabit kerana pihak pembelaan mahu mengemukakan representasi tersebut.

Pada 28 Ogos lalu, tiga wanita iaitu Chew Tok Hwa, 57; Chan Chia Wen, 27; dan Teh Guan Hoon, 37; serta seorang lelaki, Kong Meng Leong, 38; mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di Pantai Teluk Kampi antara 3 dan 6 petang, 30 Mei lepas.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama enam lagi individu lain iaitu Loh Kok Hong, 41; Mu Wai Peng, 34; Justin Ang Ji Keng, 24; Yam Kam Hoong, 54; Lionel Loo Joo Heng, 52; dan R. Nanda Kumar, 40.

Bagaimanapun enam individu terbabit mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.