Kes bakar al-Quran: Suspek, dipercayai kurang siuman, ditahan polis

Bagaimanapun lelaki berkenaan sedang dirujuk dan dipantau di hospital untuk pemeriksaan kesihatan kerana dipercayai kurang siuman. -Gambar fail

ALOR SETAR –  Seorang lelaki telah ditahan susulan penemuan cebisan halaman al-Quran di dalam tong pembakaran ibadat orang bukan Islam di Pasar Besar Alor Setar, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Lelaki yang belum diketahui maklumat dirinya itu ditahan lewat petang semalam di sebuah pasar raya di Mergong, Alor Setar.

Bagaimanapun, menurut Zakaria, lelaki berkenaan sedang dirujuk dan dipantau di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemeriksaan kesihatan kerana dipercayai kurang siuman.

Setakat ini, pihak polis masih meneruskan siasatan dan menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti motif kejadian.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada tangkapan terbaharu dibuat dan menyeru orang ramai yang melihat kejadian agar tampil bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298a(1)(b) kanun keseksaan kerana mengundang ancaman kepada agama dan perkauman di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua hingga lima tahun.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Hal Ehwal masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid yang ditemui di sini berkata, beliau masih menunggu laporan berhubung kejadian itu dari Jabatan Agama Islam untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan kerana mempunyai kepakaran khusus bagi mengesan suspek dan punca kejadian.

Beliau bersyukur kerana penahanan suspek itu sedikit sebanyak meredakan kemarahan orang Islam di negeri ini.

Usaha kami untuk menghubungi Pengarah JAIK, Datuk Mohd Noh masih gagal sejak semalam bagi menjelaskan kejadian ini dengan lebih lanjut.

-AstroAwani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.