Isu Lambakan Pekerja Asing Dibincangkan Minggu Depan – Wan Junaidi

Melaka – Isu lambakan pekerja asing di negara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat khas yang dijangka diadakan minggu depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata mesyuarat berkenaan akan disertai wakil daripada Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri, Bank Negara serta beberapa lagi agensi kerajaan serta swasta.

Mesyuarat itu bertujuan menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan pekerja asing yang dilihat semakin tidak terkawal ketika ini, tambah Wan Junaidi yang akan mempengerusikan mesyuarat itu.

“Mesyuarat itu akan melihat pelbagai persoalan berkaitan masalah pekerja asing di negara kita. Pihak majikan dan persatuan majikan termasuk perladangan dan perkilangan dijemput bersama untuk berbincang (demi) kepentingan bersama supaya jangan mengelak tugas dan tanggungjawab kepada negara.

“Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau pihak penguatkuasa termasuk tentera, (polis) Marin dan Tentera Laut yang membantu menjaga perairan kita tidak akan berjaya jika masyarakat dan peniaga tidak memainkan peranan sebaik mungkin, khususnya menggajikan orang yang tidak mempunyai pas pekerja untuk bekerja dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Muzium Penjara Malaysia, Melaka oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, di Banda Hilir, di sini hari ini.

Hadir sama, Kerajaan Negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.