Hakim Syarie Dan Pasangan Bebas Tuduhan Khalwat

Georgetown – Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, di sini, membebaskan seorang hakim syarie di negeri ini dan pasangannya daripada tuduhan ditangkap khalwat, empat tahun lalu.

Hakim Syarie, Zaim Mat Yudin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes berkenaan.

“Pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti atau dokumen bertulis berhubung fakta berlakunya pemalsuan tarikh pernikahan oleh kedua-dua tertuduh.

“Berdasarkan alasan penghakiman yang dinyatakan, keraguan berjaya ditimbulkan oleh pihak pembelaan. Justeru, mahkamah membebaskan kedua-dua tertuduh dan wang jaminan akan dikembalikan,” katanya.

Adam Tumiran, 47, dan Nurul Izani Md Isa, 37, didakwa berkhalwat di sebuah kuarters kerajaan negeri di Jalan Masjid Negeri, di sini, kira-kira jam 2 pagi pada 5 Disember 2010.

Pasangan itu berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz, Rosdee Razak dan Wan Faridulhadi Md Yusof mewakili pasangan berkenaan, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syarie, Mohd Najmuddin Mustafa dan Mohd Fahmi Mohd Idris.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.