Berkahwin Adalah Alasan, Bulatkan Tekad Lupakan Kisah Itu – Amelina

Petaling Jaya – Misteri kehilangan Ratu Dangdut, Amelina, dalam dunia hiburan akhirnya terjawab apabila penyanyi itu mengakui perkahwinannya sekitar 1999 menjadi punca dia meninggalkan bidang nyanyian.

Bagaimanapun penyanyi dangdut yang popular sekitar 90an itu enggan mendedahkan lebih lanjut pengalaman yang disifatkannya sebagai ‘pembunuh’ kerjaya seninya itu.

“Saya akui berkahwin adalah antara alasan saya meninggalkan dunia nyanyian dulu. Tetapi kembali aktif selepas 15 tahun, saya lebih selesa untuk membiarkan ia menjadi satu kisah peribadi yang tidak dikongsi dengan sesiapa.

“Namun untuk saya terus hidup dalam kisah silam adalah sesuatu yang ‘membunuh’ secara perlahan. Justeru saya kuatkan hati, bulatkan tekad dan lupakan segala kisah itu untuk terus hidup dan memandang ke depan,” katanya.

Amelina kini tampil bernaung di bawah Wake The Baby Records Sdn Bhd dan bakal menghasilkan single yang bakal menjadi pengenalan kepada kemunculan semula penyanyi itu.

Enggan mendedahkan lanjut mengenai kisah perkahwinannya yang terus menjadi tanda tanya, Amelina yang mesra dipanggil Alin hanya selesa berkongsi tentang kebahagiaannya dengan enam cahaya mata yang menjadi pembakar semangat untuk kembali aktif di bidang nyanyian.

Menurutnya, perasaan rindu untuk kembali memegang mikrofon dan merakamkan lagu terlalu tinggi hingga memaksa untuknya nekad melupakan apa saja alasannya mengenai ‘kehilangannya’ sebelum ini.

“Semua yang pernah berlaku sebelum ini adalah satu proses kehidupan yang banyak mengajar saya menjadi individu yang jauh lebih tabah, kuat dan bersemangat.

“Kehilangan saya adalah sesuatu yang begitu peribadi untuk saya kongsikan secara terperinci. Tapi cukup jika saya katakan ia pengalaman yang tak mungkin saya lupakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.