Azmin Sahkan Berlaku Salah Guna Kuasa MBI, Apa Lagi Serahlah Bukti Kepada SPRM

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam kenyataannya petang semalam secara terbuka telah mengesahkan teramat jelas wujud penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) membabitkan pemberian pampasan yang bernilai RM2.6 juta kepada lapan orang pembantu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hebat pemerhatian Menteri Besar Selangor yang baru ini sepantas kilat sudah boleh membuat kesimpulan mengesahkan wujudnya penyelewengan dalam MBI tanpa memerlukan siasatan, perincian bukti dan pengesahan rasmi dari SPRM. Ini sudah cukup luar biasa.

Azmin-Ali-Isu-Salah-Guna-Kuasa-Dalam-MBI-413x1024

Antara bekas pembantu Khalid yang dikatakan menerima wang pampasan atau ‘golden handshake’ itu termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin yang memperolehi sejumlah RM695,400 diikuti bekas Setiausaha Akhbar Khalid, Arfaezah Abdul Aziz yang menerima sebanyak RM413,000.

Baki selebihnya diberikan kepada 6 orang lagi bekas pembantu Khalid dengan jumlah pampasan yang berbeza tapi cukup untuk mereka beraya sakan kerana imbuhannya bukan tujuh lapan ribu setiap seorang tetapi berpuluh ribu dan beratus ribu ringgit.

Dalam reaksinya sebelum ini Khalid menjelaskan kesemua lapan orang bekas pembantunya itu layak mendapat habuan tersebut sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka. Azmin pula kata ia satu bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa.

Dakwaan siapa kita nak terima? Maka di sinilah pentingnya peranan SPRM dirujuk untuk masuk campur bagi melakukan siasatan seterusnya menentukan dakwaan siapa yang betul atau sebaliknya.

Bagi kita jumlah RM2.6 juta dah dikira besar dan cukup lumayan tapi hakikatnya masih dikira kecil kalau nak dibandingkan dengan isu elaun tuntutan berjumlah RM15 juta yang pernah kecoh tidak berapa lama dulu yang dikatakan dinikmati seorang penasihat ekonomi yang gaji asasnya cuma seringgit sahaja.

Apa pun menariknya dalam pada Azmin begitu yakin memang telah berlaku dengan jelas penyalahgunaan kuasa oleh pengurusan MBI ketika Khalid mengetuainya, Azmin juga menyatakan siasatan mengenainya hanya akan dilakukan oleh pihak pengurusan baru yang akan memulakan tugas mereka pada 1 Disember ini.

Pening seketika penulis dibuatnya, Azmin sendiri pada awalnya telah mengesahkan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam MBI, kemudian Azmin jugalah yang mengarahkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sama ada berlaku atau tidak penyalahgunaan kuasa yang dimaksudkannya.

Mungkin penulis silap memahami konteks ayat yang ditulis oleh wartawan Sinar Harian, barangkali juga betul itulah yang disebut oleh Azmin atau pun penulis yang sebenarnya tak tercapai dek akal untuk memahaminya.

Pun begitu alang-alang Azmin sendiri sudah mengesahkan penyelewengan memang berlaku dalam MBI semasa Khalid mengetuainya maka eloklah jangan dilengah-lengahkan lagi tindakan. Segeralah melaporkannya kepada SPRM supaya agensi itu dapat mengambil langkah susulan.

Kita akui bakat Azmin memang pelbagai, tidak terhad pada gimik mencuci longkang, mengutip sampah dan menyembur nyamuk sahaja. Tapi dalam kes melibatkan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa sebegini, jika ada bukti maka serahkan saja kepada SPRM untuk menyiasatnya. Bukankah itu lebih baik?

-PetikanMYKMU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.