Apakah Masyarakat Layak Menghukum Penjenayah Dengan Cara Mereka?

Kuala Lumpur – Seorang lelaki dipukul sehingga mati selepas mencuri telefon bimbit termasuk nasib sama menimpa lelaki lain akibat mencuri duit tabung masjid manakala remaja lelaki dibogelkan selepas mencuri motosikal dan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dipukul tanpa belas kasihan angkara mencuri menjadi kes jenayah yang menarik perhatian khalayak kebelakangan ini.

Apa yang menimbulkan persoalan, apakah pesalah atau penjenayah kes seperti ini boleh dihukum serta merta sehingga mati atau tindakan masyarakat terbabit dinilai sebagai satu budaya yang sudah menjadi kelaziman terhadap reaksi spontan.

Ahli akademik, Pusat Pengajian Siswazah & Profesional, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Dr Za’faran Hassan berkata, mereka yang mempunyai pegangan kuat agama tidak terkecuali bertindak berani menghukum pesalah sebagaimana kejadian remaja dibogelkan didepan masjid akibat mencuri motosikal milik seorang jemaah berlaku di Masjid Pauh Lima, Binjai Kota Bharu, Kelantan yang dilaporkan media pada awal bulan ini.

“Persepsi masyarakat kini masih berpegang pada adat dan budaya orang zaman dahulu dimana dengan melakukan kekasaran, ia mampu memberi pengajaran setimpal kepada pesalah atas tindakan jenayah yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Merujuk kes berkenaan, remaja berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan bahu dipercayai akibat dipukul orang ramai.

Menurut penceramah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah,68, tindakan membogelkan remaja tersebut adalah sesuatu yang tidak patut berlaku kerana ia boleh mengaibkan mangsa.

“Memang dalam Islam jika berlaku kemungkaran, kita perlu mencegah dengan tangan tetapi apa yang berlaku dalam insiden berkenaan adalah sesuatu yang keterlaluan.

“Saya lebih merujuk pendekatan (hukuman) mengikat remaja berkenaan dan menghantar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas prosedur undang-undang, beliau menyatakan penentuan hukuman kepada pesalah yang memakan masa panjang antara punca masyarakat bertindak sedemikian.

“Jika dibawa ke mahkamah, tindakan menghukum pesalah selalu ditangguhkan dan ini boleh mengakibatkan mereka mengulangi kesalahan sama.

“Seperti yang saya ketahui mengenai insiden terbabit, remaja berkenaan sudah mempunyai rekod jenayah lampau dengan kesalahan sama iaitu mencuri motorsikal,” tambahnya.

Katanya, perbuatan orang ramai memukul pesalah yang dianggap sebagai tindakan normal dalam kalangan masyarakat sebenarnya membelakangi undang-undang.

Sebelum ini, berlaku juga kes hampir sama di Bukit Mertajam, Pulau Pinang apabila seorang lelaki maut dipukul orang ramai akibat mencuri telefon bimbit milik seorang pemandu lori.

Mengikut laporan media, mangsa menahan lori di tepi jalan di Taman Sejahtera dan memberitahu pemandu berkenaan mahu menumpang ke bandar Bukit Mertajam.

Namun, pemandu lori berkenaan menyedari telefon bimbitnya yang diletakkan dalam tempat penyimpanan barang di bahagian penumpang hilang selepas lelaki yang menumpangnya turun.

Penganggur tersebut berjaya ditangkap pemandu lori dibantu beberapa penduduk di kawasan itu dan berlaku pertelingkahan sebelum mangsa dipukul teruk sehingga menemui ajal ketika dibawa ke hospital behampiran.

Hak Suspek/Mangsa Jika Dibelasah Orang Ramai

Menurut pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, mengambil contoh kes yang sama, remaja terbabit yang dianggap sebagai suspek mempunyai hak daripada perspektif undang-undang.

“Suspek boleh menfailkan saman terhadap orang ramai yang memukul dan membogelkannya kerana di sini saya berpandangan, mangsa boleh menuntut saman cedera dan malu kerana ditelanjangkan.

“Orang ramai didapati bersalah sekiranya pihak berkuasa mengesahkan suspek mengalami kecederaan melampau dan biasanya mahkamah akan mengadili kes ini mengikut undang-undang yang dikenali sebagai tort,” tambahnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor dalam kenyataan dilaporkan media menegaskan orang ramai tidak perlu bertindak di luar batasan sehingga mencederakan suspek biarpun mengesyaki mereka melakukan jenayah.

“Kita menghargai tindakan orang awam yang mahu menangkap penjenayah tetapi jangan bertindak sewenangnya sehingga melampaui undang-undang.

“Sepatutnya, jika berlaku sebarang kejadian jenayah, tangkap dan serah kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dr Zulfakar juga memberitahu, sekiranya orang ramai didapati bersalah, mereka boleh didakwa di bawah seksyen 325 dan 327 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada suspek yang membawa hukuman penjara selama 7 tahun.

“Kita faham masyarakat geram terhadap suspek kerana kadar jenayah yang semakin berleluasa sekarang ini dan prosedur mendakwa suspek ke muka pengadilan memakan masa tetapi mereka harus menyedari bahawa secara tidak langsung mereka telah melakukan jenayah ke atas penjenayah (suspek),” jelasnya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar bertindak menggunakan akal fikiran dan bukannya mengikut emosi semata-mata.

Tambahnya, tindakan kerajaan menambah jumlah anggota keselamatan dan menempatkan pihak berkuasa di beberapa tempat yang disyaki mempunyai risiko jenayah tinggi adalah satu langkah bijak dalam usaha membendung dan mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Namun, jika tindakan seperti ini menunjukkan kadar jenayah masih tiada sebarang perubahan positif, kerajaan harus memikirkan usaha untuk jangka masa panjang.

Mengulas lanjut kes kecurian motosikal yang semakin tinggi berlaku di negara ini, beliau yakin antara faktornya adalah remaja seawal usia 14 tahun mudah membawa motosikal kemana sahaja tanpa lesen.

“Kalau kita lihat bukan setakat di kawasan kampung saja tetapi di kawasan bandar juga remaja yang tiada lesen ini sewenangnya membawa motosikal tanpa rasa bersalah kerana operasi sekatan jalan raya tidak dilakukan di kawasan mereka.

“Ini amat merisaukan apabila jika sering terlepas dari sekatan jalan raya, mereka akan rasa teruja membawa motosikal dan niat untuk mencuri motosikal itu ada seperti mana apa yang berlaku pada remaja di Kota Bahru,” katanya.

Sebagai langkah penambahbaikkan, beliau mensyorkan kerajaan sentiasa memberi didikan kepada orang ramai mengenai kesalahan jika menjadi hakim dan membuat undang-undang sendiri.

“Ini penting kerana kita melihat beberapa kes curi dimana suspek dipukul orang ramai sehingga ada yang meninggal dunia.

“Mengambil kes yang berlaku di Bukit Mertajam apabila seorang penganggur meninggal dunia akibat dipukul atas kesalahan mencuri telefon, jika mangsa didapati bersalah hukumannya mungkin bukan sampai ke tahap maut tetapi dia terpaksa menerima hukuman maut atas tindakan emosi orang ramai,” katanya.

Menerusi peringatan dan pengajaran kesan daripada tindakan melulu terhadap suspek, ia mampu membuatkan kita semua berfikir secara rasional jika kes sama berulang.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam melarang setegas-tegasnya anak mereka membawa motosikal tanpa lesen,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.