32 Nelayan Malaysia Disyaki Penceroboh Disahkan Ditahan Pihak Berkuasa Indonesia

Sandakan – Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penahanan 32 individu dipercayai nelayan yang dikatakan berasal dari Malaysia kerana disyaki menceroboh perairan negara itu, Isnin lalu.

Semua individu berkenaan membabitkan 13 lelaki, lapan wanita serta 11 kanak-kanak yang menaiki 10 bot dilaporkan mengaku berasal dari Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

Mereka ditahan menerusi operasi dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia di perairan Pulau Panjang, Berau, Kalimantan Timur, kira-kira jam 5 pagi.

Kementerian Kelautan dan Perikanan Sekretariat Jenderal Indonesia bagaimanapun belum dapat mengesahkan identiti semua yang ditahan.

Ketua Pengawasan Sumber Daya Kelautan, Perikanan Dinas dan Perikanan Kabupaten Berau, Budi Hariyanto, ketika dihubungi BH mengesahkan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kerakyatan mereka.

“Tidak dapat disahkan sekiranya mereka orang Malaysia atau tidak kerana tiada identiti ditemui. Cuma mereka mengaku dari Kampung Bangau-Bangau, Semporna dan datang ke Indonesia untuk mencari makan (menangkap ikan).

“Mereka sudah diserah kepada Imigresen Indonesia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

 
– Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.