2 Pegawai Imigresen Hadapi Tuduhan Bunuh Warga Bangladesh

Kangar – Dua pegawai Jabatan Imigresen Perlis dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang warga Bangladesh semasa dalam tahanan pada 29 Okt lepas.

Mohd Aminnudin Mohd Yasin, 32, dan Zuhairul Effendy Zualkafli, 32, dituduh mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Abu Bakar Siddiqe, 45 tahun, antara pukul 10 dan 11 malam, 29 Okt, di Jabatan Imigresen Kangar.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Majistret Nik Mohd Tarmizi Nik Mohd Shukri menetapkan 12 Dis untuk sebutan semula kes itu.

Ketua Unit Timbalan Pendakwa Raya Perlis, Badius Zaman Ahmad mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Rahamathullah Baharudeen.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.