KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) dinilai tidak relevan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat kerana ia wajar bermula dari usia muda di peringkat sekolah rendah bukannya pada umur 18 tahun.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan malah mencadangkan, pengumuman peruntukan RM50 juta untuk menghidupkan semula PLKN 3.0 sewajarnya disalurkan kepada sekolah rendah sekiranya matlamat kerajaan untuk menyatupadukan rakyat.
“PLKN 3.0 kerajaan peruntuk sebanyak RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi program tersebut, kalau dari segi jumlah ia sangat kurang berbanding pelaksanaan PLKN sebelum ini. Dulu RM500 juta, tapi orang kata ini akan jadi titik mula nanti tahun-tahun akan datang (peruntukan) akan naik, naik.
“Perbelanjaan (RM50 juta) itu lebih baik disalur kepada sekolah rendah, kalau (niat) nak menyatupadukan rakyat.
“Mungkin (salur) untuk sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular dengan memberi nafas semula kepada Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang pernah wujud dulu.
“Hal ini kerana ia lebih baik untuk tujuan perpaduan berbanding dah 18 tahun baru nak berjumpa di PLKN,” syor Shahril dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Isnin.
Untuk rekod, RIMUP ialah program intervensi di Malaysia yang bertujuan untuk menggalakkan perpaduan sosial dalam kalangan murid pelbagai kaum di sekolah rendah.
Dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mendorong murid untuk menghargai perbezaan antara satu sama lain, aktiviti seperti penglibatan komuniti dan dialog antara budaya menggalakkan keterangkuman dan toleransi seterusnya memupuk komuniti sekolah yang harmoni.
Program ini telah dicetuskan dan mula dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan seawal tahun 1986 dan kemudian dikemas kini pada tahun 2012.
Pun begitu, Shahril berkata, dengan belanja RM50 juta untuk PLKN 3.0 rakyat secara keseluruhan akan menjejaki keberkesanan siri 3.0 sama ada ia lebih baik berbanding pelaksanaan sebelumnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, kerajaan akan memulakan PLKN 3.0 secara rintis dengan konsep baharu bagi pelajar lepasan kadet sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperuntukan sebanyak RM50 juta kepada Kementerian Pertahanan bagi program rintis tersebut.
Katanya, program ini juga melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi beruniform lain.
PLKN 3.0 akan menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.
Kali terakhir PLKN dilaksanakan adalah pada tahun 2015.
PLKN diperkenalkan pada 16 Februari 2004 oleh pentadbiran terdahulu bagi memperkasa nilai jati diri dan kenegaraan belia.