Menteri KPT tegur universiti sekat pensyarah bersuara tapi jangan terbabas daripada kajian, fakta dan data.

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menyekat kebebasan ahli akademik dalam kalangan pensyarah namun setiap kenyataan atau pandangan yang dikeluarkan perlu bersandarkan kepakaran masing-masing.

Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, kebebasan ahli akademik universiti tempatan untuk menyuarakan pandangan tetap akan dipertahankan.

Jelas beliau, pandangan yang diberikan itu juga perlu berdasarkan fakta dan penyelidikan kerana perkara itu menjadi disiplin dunia akademik dan tidak hanya bercakap secara semberono.

“Walaupun kita tahu hasil daripada kajian dan pandangan mereka mungkin tidak baik bagi sesetengah pihak tertentu ataupun agak kritikal tetapi jangan dijadikan sebagai satu alasan untuk mengekang kebebasan mereka.

“Selagi mereka (ahli akademik) memberi pandangan berdasarkan disiplin ilmu dan berlatarbelakangkan kepada kajian, bukti serta data saya berfikiran adalah tidak wajar kepada mana-mana pihak untuk cuba mengekang kebebasan mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvensyen Akademia 2024 di kementeriannya, di Putrajaya pada Isnin.

Seramai 200 ahli akademik mewakili universiti tempatan hadir dalam konvensyen anjuran Akademi Profesor Malaysia.

Kenyataan Zambry itu merujuk kepada pertanyaan pemberita berhubung kenyataan dikeluarkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menafikan pihaknya menghalang kebebasan mana-mana kakitangannya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

UKM berkata, pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Katanya, sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai Universiti Watan.

Dalam pada itu, di Facebooknya Zambry mengulas lanjut kenyataan dalaman UKM berkaitan Pekeliling Pejabat Pendaftar berkenaan pemakluman larangan membuat kenyataan yang boleh membawa kemudaratan awam, telah menimbulkan keresahan di kalangan ahli akademik dan golongan ilmuwan secara amnya.

“Saya sering mengingatkan pengurusan universiti untuk mengambil perhatian terhadap setiap arahan, teguran dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berwenang dalam tafsiran konteks, iklim serta latarbelakang akademia dan universiti.

“Ini kerana universiti adalah sebuah institusi yang berbeda dari tafsiran sehala perkhidmatan awam. Universiti itu adalah mikrokosme (microcosm) bagi sesebuah negara.

“Universiti adalah sebuah lingkungan akademia yang mewarisi tradisi pengajaran dan penyampaian ilmu, penakulan dan pengkajian. Ia memiliki sempadan tersendiri sebagai “brain of the nation”,” jelas Zambry.

Justeru katanya lagi, sebarang arahan yang kelihatan membawa tafsiran menggugat tiang utama kebebasan akademik hendaklah diperhalusi terlebih dahulu sebelum sesuatu arahan atau kenyataan dikeluarkan.

“Ini bagi mengelakkan ia disalah tafsir sebagai usaha mengekang kebebasan akademik.

“Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa para ahli akademik berperanan sebagai pencetus dan penukil idea untuk menjadikan sesebuah masyarakat dan negara berperanan dengan lebih baik. Seorang sarjana dari universiti tidak seharusnya menjadi “pak turut” semata-mata.

“Kerajaan tidak akan sama sekali menyekat kebebasan akademik dalam lingkungan sesebuah universiti. Disiplin keilmuan para akademik sewajarnya menjadi panduan akan sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang yang bergelar ahli akademik. Kredibiliti seseorang ahli akademik yang mengeluarkan kenyataan tidak berfakta dan di luar bidangnya, pasti akan mencacatkan integriti dirinya.

“Seperti yang sering diingatkan oleh Profesor Syed Hussein Alatas: “memiliki suatu gelar tertentu belumlah membuat orang menjadi intelektual, walaupun hal ini seringkali berdampingan: banyak didapati pemegang gelar dan profesor yang tidak memusatkan diri untuk mengembangkan bidang mereka atau berusaha menemukan pemecahan atas masalah tertentu dalam bidangnya”.

“Saya menegur sebarang langkah yang dibuat oleh sesebuah institusi pengajian tinggi, tanpa mengambil kira sensitiviti dunia akademik. Universiti membangun dan berkembang dengan idea dan penyelidikan serta penemuannya.

“Justeru saya memohon dalam menekuni tradisi kesarjanaan para pensyarah dan penyelidik jua perlu menjadikan kecemerlangan dan disiplin ilmu sebagai prinsip panduan (guiding principles) dalam mengeluarkan sebarang kenyataan,” tegas beliau.

Tambah Zambry lagi, ini diperingatkan juga oleh seorang sarjana besar Edward Said dalam karyanya Representation of the Intellectuals tentang peri pentingnya peranan intelektual untuk melaksanakan agenda kebaikan meskipun menghadapi rintangan kehilangan populariti mereka.

“Namun beliau mengingatkan bahawa di sebalik kebebasan itu, mereka jangan terbabas dari tradisi kajian (research), fakta dan data.


Justeru teruskan pemugaran proses keilmuan di universiti di atas landasan konstruktif dan kreatif tanpa merasa terkongkong,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat