Peniaga Maut Ditikam Warga Indonesia

LELAKI warga emas yang juga peniaga maut ditikam lelaki warga Indonesia dalam satu pergaduhan di Pekan Tedungan, di Limbang, semalam.

Dalam kejadian 7 pagi itu, mangsa, Ting Kok Khoi, 62, ditikam selepas dipercayai tidak menuruti permintaan suspek yang meminta wang tambang untuk ke bandar Limbang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang marah terus menikam mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

“Mangsa cuba melarikan diri tetapi terus dikejar suspek serta ditikam beberapa kali di bahagian belakang dan badan.

“Akibatnya, mangsa terjatuh dan dijumpai dalam keadaan terlentang dengan badan berlumuran darah bersebelahan pacuan empat roda miliknya,” katanya ketika dihubungi.

Abang Zainal Abidin berkata, polis yang menerima maklumat berkenaan bergegas ke lokasi dan berjaya mengepung serta menangkap suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek baru sehari datang ke Limbang untuk mencari kerja.

“Suspek dikatakan memerlukan wang untuk pulang ke Indonesia atas urusan keluarga.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu dan polis meminta saksi menghubungi atau datang sendiri ke balai polis berhampiran untuk memberikan keterangan,” katanya.

Katanya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.