Pelik Mahathir Tak Tahu Kandungan Komik Yang Dihadiahkan Kepada Presiden China – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong hairan dengan kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bahawa Dr Mahathir Mohamad tidak tahu tentang kandungan komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”.

Wee berkata, berdasarkan gambar tular di media sosial, Mahathir sendiri yang menyerahkan komik berkenaan kepada Presiden China Xi Jinping bersempena Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2 di Beijing, April lepas.

“Pertamanya, ia melangkaui semua protokol dan prosedur operasi standard (SOP) dan Wisma Putra sepatutnya lakukan semakan. Seseorang harus membuat semakan isi kandungan komik itu,” kata Wee yang juga presiden MCA.

“Apa-apa sahaja yang mahu diberikan kepada ketua kerajaan, pastikan ia adalah sesuai dan jika ia berbentuk dokumen, baca keseluruhan kandungan, perkataan demi perkataan.

“Tidak bolehlah berikan sesuatu kepada ketua kerajaan, yang mewakili negara tanpa menyemaknya. Ini memalukan dan JPM pula tidak mengetahuinya,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen hari ini

Terdahulu JPM berkata, Mahathir tidak pernah terlibat dalam penerbitan buku komik kontroversi, “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” oleh bekas pemimpin DAP Hew Kuan Yau atau mengetahui isi kandungannya.

Berita berkaitan;

JPM berkata buku itu bukan hadiah rasmi semasa pertemuan dua hala dengan Xi dan ia dibawa “tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul”.

Wee berkata, beliau percaya sekretariat Wisma Putra yang bertanggungjawab menguruskan lawatan perdana menteri ke China mengetahui mengenai komik kontroversi yang turut dibantah Kementerian Dalam Negeri.

“Sudah tentu Wisma Putra tahu dan mereka tahu bahawa komik itu akan diserahkan kepada presiden China. Jadi tidak ada sebab untuk mereka berkata tidak dimaklumkan.

“Pada kebiasaannya apa-apa sahaja yang akan diserahkan ketua kerajaan, haruslah melalui Wisma Putra yang menjalankan koordinasi di antara kedua-dua negara,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, bekas perdana menteri Najib Razak terus mempersoalkan kenyataan pemimpin DAP bahawa parti itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan komik berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook Najib menolak dakwaan itu dengan berkata prakata komik tersebut ditulis oleh “seorang bernama Lim Guan Eng” yang menggunakan gelaran menteri kewangan dan setiausaha agung DAP.

Beliau juga menaikkan gambar prakata komik “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”.

“Nama komik, nama Hew Kuan Yau dan nama PM ke-7 turut disebut oleh orang bernama Guan Eng ini,” katanya hari ini.

Najib menggesa Lim Guan Eng dan bapanya, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memberi penjelasan. – FMT

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.