Armada PPBM Mahu Calon PH Kuat Kemelayuan Untuk Redakan Keresahan Orang Melayu

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM / BERSATU) wajar menampilkan calon yang kuat ‘kemelayuan’ dan baik dari segi agama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Calon pada PRK yang dijadualkan 16 November depan itu juga perlu dipilih dalam kalangan anak tempatan yang berwibawa dan disenangi ramai.

EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Muzzammil Ismail, berkata faktor berkenaan mampu mempengaruhi masyarakat setempat, selain menjadi nilai tambah yang berupaya menjadi penawar keresahan pengundi Melayu ketika ini.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH)-BERSATU bukan saja perlu meletak calon matang serta berpendidikan bagi meraih keyakinan di Tanjung Piai, malah turut memiliki ‘faktor X’ sebagai bonus untuk meneutralkan kebimbangan pengundi Melayu berhubung isu pemartabatan institusi Islam-Melayu.

“Risikan latar belakang mestilah memastikan calon bebas daripada penolakan dalaman disebabkan karakter diri seperti seorang yang tidak mesra mahupun dikenali sebagai pelobi.

“Pada pengamatan saya, kriteria calon muda saja tidak menarik keyakinan pengundi. Pola pemikiran masyarakat kini tidak berminat dengan penerangan falsafah pentadbiran semasa, bahasa politik eksperimen, apatah lagi menambah janji.

“Mereka mahu penyelesaian yang nyata dan meyakinkan. Calon PH-BERSATU perlulah seorang yang berkarisma dan dilihat mampu bekerja kuat di kawasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Calon PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai, Karmaine Sardini, dilaporkan berkata majlis pengumuman calon itu dijangka diadakan di dataran terbuka berhadapan Dewan Jubli Intan, Pontian, dan persiapan mengenainya sedang dilakukan.

BERSATU Bahagian Tanjung Piai sudah menyerahkan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan untuk diteliti dan diputuskan. Kesemua tiga yang dinamakan itu adalah pemimpin BERSATU Bahagian Tanjung Piai. – BH

Lain-lain berita pilihan;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.