Zam Mahu Hapuskan Teksi, Sifatkan Mereka Sebagai Penipu

SHAH ALAM – Di tengah-tengah kehangatan isu teksi dan Grab, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin tampil mengesyorkan kerajaan menghapuskan terus perkhidmatan teksi di negara ini.

Desakan itu disuarakan beliau susulan tindakan segelintir pemandu teksi yang bersikap biadap dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad siang tadi.

Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam berkata, kerajaan tidak perlu memberi muka kepada pemandu teksi yang disifatkannya sebagai penipu dan pemeras.

Sesi dialog Mahathir dengan persatuan pemandu teksi di Langkawi hari ini bertukar kecoh seketika apabila segelintir dari mereka enggan mendengar penjelasan perdana menteri mengenai isu Grab.

Mereka juga mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat bising serta bertindak meninggalkan dewan semasa perdana menteri masih berucap berhubung isu e-hailing.

Susulan tindakan tidak dijangka dari sekumpulan pemandu teksi itu, Mahathir meluahkan rasa kesal dan menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa Malaysia) menafikan kumpulan pemandu teksi yang membuat kecoh itu merupakan ahli pertubuhannya. 

Perjiwa menyifatkan kekecohan itu adalah tindakan sabotaj dari pihak-pihak tertentu. 

Isu pemandu teksi sedang hangat diperkatakan ketika ini kerana golongan itu mendakwa kewujudan Grab menjejaskan periuk nasi mereka.

Pemandu teksi juga kecewa kerana sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian oleh kerajaan untuk memulihkan kembali sumber pendapatan mereka. -SuaraTv

2 thoughts on “Zam Mahu Hapuskan Teksi, Sifatkan Mereka Sebagai Penipu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.