Tiada Isu Politik Dibincangkan – Anifah

KOTA KINABALU: Pertemuan enam pemimpin pembangkang negeri ini dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan bermotifkan politik sebaliknya hanya untuk mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Selain itu, pertemuan itu juga diadakan bagi membincangkan isu tertentu dihadapi kerajaan ketika ini.

Pemimpin berkenaan membabitkan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffery Kitingan, pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Kurup dan Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakariah Edris.

Kumpulan berkenaan melakukan kunjungan hormat kepada bakal Presiden PKR di pejabatnya di Petaling Jaya, pada 18 Oktober lalu.

Ketika dihubungi hari ini, Anifah menegaskan bahawa pertemuan itu hanya untuk merakamkan tahniah kepada Anwar dan tiada isu politik dibincangkan.

“Saya memberikan kenyataan saya (untuk menerangkan mesyuarat itu) dua hari yang lalu dan saya tidak mahu mengulangi,” kata bekas Menteri Luar itu tanpa mengulas lanjut.

Pada 19 Oktober lalu, sebuah portal melaporkan Anifah yang meninggalkan UMNO bulan lalu, mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai masalah pelarian IMM13 di Sabah serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Parlimen Kimanis itu juga menafikan khabar angin bahawa mesyuarat itu bertujuan merampas kuasa kerajaan negeri yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Sementara itu, sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa Anifah sebagai berkata bahawa beliau akan menyokong kerajaan Pakatan Harapan berkaitan hak negeri ini.

Jeffrey ketika dihubungi turut menegaskan bahawa tiada isu politik dibincangkan dalam pertemuan pemimpin pembangkang dengan Anwar.

“Sudah pasti ada perbualan tetapi ia hanya berkaitan isu biasa yang mana kami memberi taklimat mengenai masalah keselamatan di Sabah dan IMM13,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.