Tanah Runtuh: SAR Diteruskan Selepas Pemeriksaan Jabatan Mineral & Geosains

GEORGETOWN: Pasukan penyelamat akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Moktar berkata, ketika ini pasukan JMG sedang membuat pemeriksaan di kawasan tanah runtuh bagi melihat sama ada terdapat sebarang pergerakan tanah di situ sebelum membenarkan pasukan penyelamat menyambung semula SAR hari ini.

“Selain itu, pasukan JMG akan membuat beberapa pemeriksaan lanjut termasuk beberapa kemungkinan lain sebelum membenarkan kami meneruskan operasi SAR untuk mencari lima mangsa yang masih tertimbus.

“Kami harap cuaca hari ini baik agar dapat meneruskan operasi di sektor ketiga yang dipercayai kemungkinan lima lagi mangsa tertimbus itu berada di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 100 anggota dan pegawai pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi seperti bomba, pasukan SMART, polis dan Angkatan Pertahanan Awam telah bersiap sedia untuk meneruskan operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini.

Mereka yang masih hilang ialah Subairi warga Indonesia dan empat warga Bangladesh dikenali sebagai Mithu Hossain, 30, Mohamad Abd Jalil, 31, Ujal, 33, dan Rahat, 25.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala lima lagi dikhuatiri masih terperangkap di dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari Jumaat itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Petang Jumaat dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pukul 1.30 pagi Sabtu dan mayat keempat Bahtiar, 36, lelaki Indonesia ditemukan pada 11.55 pagi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.