Syed Saddiq Pertikai Tindakan Pemandu Teksi Tinggalkan Majlis Ketika Dr Mahathir Berucap

TINDAKAN segelintir pemandu teksi, ‘angkat kaki’ meninggalkan sesi dialog selepas enggan menerima penjelasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu perkhidmatan e-hailing disifatkan sebagai tiada budi bahasa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, ketika menyelar sikap dicerminkan golongan yang sebelum ini diberi jolokan ‘duta kecil negara’ itu berkata, tidak mungkin sesuatu penjelasan atau maklum balas berupaya memuaskan hati semua pihak.

“Kepada pemandu teksi yang biadap dalam sesi dialog tadi, mana budi bahasa anda? Ayahanda @chedetofficial (Dr Mahathir), don’t be sad and please don’t give (up) on us (jangan bersedih dan berputus asa terhadap kami),” katanya menerusi akaun Instagram rasminya, hari ini.

Berita Berkaitan;-

“Kalau Tak Nak Saya Jadi Perdana Menteri, Hari Ini Juga Saya Letak Jawatan” – Mahathir

Dr Mahathir ketika menghadiri Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Langkawi, hari ini dilaporkan berkata sedia meletak jawatannya selepas kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi bersikap biadap dan keluar meninggalkan majlis berikutan enggan menerima penjelasan beliau berkaitan isu perkhidmatan e-hailing.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, kejayaan akhirnya akan ditempa dengan berbekalkan niat dan usaha.

“Selagi niat dan usaha di tempat yang betul, insya-Allah kita akan berjaya bersama,” katanya dipercayai cuba ‘memujuk’ Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU selepas kelihatan hampa dengan sikap ditunjukkan segelintir pemandu teksi berkenaan. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.