Setiausaha Akhbar Menteri Biadap Dengan Media, Rampas Teks Ucapan

KUALA LUMPUR – Beberapa wartawan melahirkan rasa kecewa, terkejut dan marah dengan tindakan Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang didakwa bersikap biadab ketika berdepan dengan pengamal media.

Wartawan Penolong Ketua Biro Kosmo Putrajaya, Junhairi Alyasa meluahkan rasa kecewa dengan tindakan SUA yang tidak dinamakan itu pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM), Sabtu.

Menurutnya, sejurus selepas majlis itu, sekumpulan wartawan daripada Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo dan Berita Harian dalam perjalanan ke bilik sidang media seperti yang telah di nyatakan penganjur.

Pada waktu tersebut Junhairi berkata SUA tersebut merampas teks ucapan ‘bossnya’ kerana mendakwa terdapat fakta yang tidak betul.

Walaubagaimanapun SUA tersebut tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana lazimnya fakta hanya perlu dibetulkan kepada media sebelum berita disiarkan.

“Apabila kami buat keputusan untuk keluar daripada bilik tersebut, tiba-tiba SUA Rina Harun datang kepada kami dan meminta balik teks ucapan yang dibacakan dalam majlis konvokesyen yang turut dihadiri lebih 6,000 orang termasuk graduan, ibu bapa serta kakitangan KUPTM.

“Kami mempersoal mengapa SUA ini mengambil kembali teks ucapan daripada kami. Dia juga bertindak ‘merampas’ teks ucapan itu daripada salah seorang wartawan kami sehingga berlaku sedikit kekecohan.

“Tidak pernah berlaku sepanjang kerjaya kami diperlakukan sedemikian rupa kerana selalunya SUA akan berjumpa dengan kami dan meminta bahagian yang tidak sepatutnya ditulis.

“Tindakan menarik balik keseluruhan teks tersebut kononnya atas arahan menteri juga sangat menjengkelkan,” katanya dalam laman Facebook selain daripada di kongsi oleh rakan-rakan media yang lain.

Jelas Junhairi, pihaknya mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh SUA yang dianggapnya tidak berbudi bahasa berkenaan berpunca daripada terlepas pandang tentang beberapa perkara termasuk TN50.

“SUA ini tidak berbudi bahasa dan tidak mempunyai pengalaman bagaimana mahu berurusan dengan pihak media.

“Jika tidak mahu kami tulis, lebih baik selepas ini jangan jemput pihak media lagi,” tegasnya.

Gerakan Media Merdeka (GERAMM) juga mengecam tindakan SUA itu dengan menyifatkan insiden sebegini tidak seharusnya berlaku antara pegawai kerajaan yang mengendalikan media.

“Hubungan antara pegawai kerajaan khasnya SUA dengan media sepatutnya mesra dan saling memerlukan antara satu sama lain.

“Pihak berwajib dalam kerajaan diminta supaya mengambil perhatian terhadap perkara ini agar masalah komunikasi seperti ini tidak lagi berlaku,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.