Menteri Kata Boleh Terus Minum Air Paip, Timbalan Menteri Kata Masak Dulu Sebelum Minum

“Saya tidak boleh memastikan air paip selamat untuk terus diminum, perlu dimasak terlebih dulu,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, ia kerana beberapa saluran air yang dilalui kemungkinan mempunyai risiko paip yang sudah lama atau berkarat.

“Saya boleh katakan di sini air yang keluar dari loji rawatan memang memenuhi syarat untuk boleh diminum tetapi dari loji rawatan sehingga ke rumah pula melalui rangkaian pengedaran (saluran paip air) dan perlu dipastikan paip yang ada tidak mempunyai masalah.

“Ini kerana masih ada paip lama dan berkarat, jadi saya rasa lebih baik kita jangan minum secara terus dan dimasak terlebih dulu,” katanya ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Baru MTD di kawasan parkir Tokong Na Tuk, Batu Gajah, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Semalam akhbar melaporkan rata-rata pelayar media sosial tidak bersetuju untuk terus minum air dari paip kerana meragui kualiti air yang sampai ke rumah mereka.

Sebelum ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar pada sesi persidangan Dewan Rakyat dilaporkan memaklumkan air terawat dibekalkan kepada orang ramai di Malaysia adalah mematuhi standard kualiti minimum yang ditetapkan Kementerian Kesihatan berdasarkan Garis Panduan Kualiti Air yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan selamat untuk terus diminum.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail juga dilaporkan mengesahkan sistem bekalan air di negara ini bukan saja bersih dan selamat diminum secara terus malah bebas bakteria e-Coli.

Dr Boon Chye berkata, beliau juga tidak dapat menjamin air paip selamat untuk terus diminum kerana segala kemungkinan boleh berlaku di sepanjang proses penyaluran air melalui rantaian paip sedia ada.

“Keluar saja dari loji rawatan memang tiada masalah namun dari loji rawatan sehingga ke rumah pula melalui paip yang panjang, puluhan kilometer (km), kemungkinan kita tidak tahu lagi boleh atau tidak (air terus diminum),” katanya. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.