“Kalau Tak Nak Saya Jadi Perdana Menteri, Hari Ini Juga Saya Letak Jawatan” – Mahathir

LANGKAWI – Perjumpaan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan persatuan pemandu teksi di Langkawi hari ini bertukar kecoh seketika apabila segelintir dari mereka enggan mendengar penjelasannya mengenai isu Grab sebelum bertindak meninggalkan majlis ketika beliau masih berucap.

Susulan tindakan tidak dijangka dari sekumpulan pemandu teksi itu, Dr Mahathir meluahkan rasa kesal dan menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan Perdana Menteri.

“Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendirilah. Tengok apa jadi. Saya nak tolong. Tapi kalau tak ada bantuan kepada saya, saya tak boleh tolonglah.

“Saya bukan nak jadi perdana menteri. Saya bersara dah tapi orang panggil balik. Sebab itu saya datang. Kalau tak nak saya jadi perdana menteri hari ini pun saya letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya.

Sesi dialog yang dihadiri hampir 200 pemandu teksi itu menuntut kerajaan bertindak menangani isu Grab yang menjejaskan pendapatan mereka.

Memetik laporan BH, terdahulu dalam ucapannya Dr Mahathir berkata beliau pernah membangkitkan isu Grab kepada Kabinet termasuk Menteri Pengangkutan namun sehingga kini tiada perkembangan mengenainya.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam Kabinet…saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi…saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan Grab, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

Pada 20 April lalu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dalam ucapannya kepada pemandu pelancong di pulau tersebut Dr Mahathir berjanji akan mengkaji perkhidmatan Grab bagi membela nasib pemandu teksi sekiranya Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

“Masalah Grab ini bukan hanya Langkawi tapi seluruh Malaysia.

“Grab merugikan pemandu teksi biasa, perkara ini akan dikaji supaya servis teksi yang adil kepada semua pihak, ini akan kita lakukan apabila kita ambil alih kerajaan nanti,” ujarnya. – SuaraTV

 

One thought on ““Kalau Tak Nak Saya Jadi Perdana Menteri, Hari Ini Juga Saya Letak Jawatan” – Mahathir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.