JPP Beri Tempoh Sehingga Tengah Malam

MELAKA: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR memberi tempoh sehingga tengah malam hari ini kepada bahagian teknikal bagi menyelesaikan isu kelewatan keputusan pengundian di Melaka yang masih belum diumumkan secara rasmi.

Pengerusinya, Datuk Rashid Din, berkata sekiranya masih gagal menyelesaikan isu itu, pihaknya akan merujuk proses pengundian di Melaka ke mesyuarat Biro Politik bagi membuat keputusan lanjut.

“Untuk Melaka, pihak JPP memberi masa sehingga tengah malam ini kepada pihak teknikal untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah berkenaan keputusan pengundian.

“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, maka proses pengundian Melaka akan dibawa ke mesyuarat biro politik bagi membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, sebanyak enam cabang PKR di Melaka iaitu Cabang Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Bukit Katil, Kota Melaka dan Jasin selesai mengundi melalui sistem e-undi.

Seramai 23,466 ahli PKR Melaka layak memilih membabitkan enam cabang di seluruh negeri ini menggunakan sistem e-undi bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang.

Terdahulu, Pengerusi PKR Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ketika dihubungi NSTP hari ini berkata sejumlah 2,000 undi dilaporkan ‘hilang’ membabitkan lima daripada enam cabang PKR Melaka yang selesai menjalankan pemilihannya, semalam.

Beliau berkata, kehilangan kira-kira 60 peratus undian yang dibuat melalui sistem e-undi itu agak mengejutkan sehingga gagal untuk memuktamadkan keputusan rasmi pemilihan PKR di negeri ini.

Dalam keputusan tidak rasmi pengundian di enam cabang PKR Melaka sehingga jam 7.30 malam semalam, kumpulan ‘Reformasi 20 Tahun’ yang diterajui Rafizi Ramli dilaporkan mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Rafizi di Twitternya turut mendakwa mendapat 55 peratus undi di Melaka dan 52 peratus undi di Negeri Sembilan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.