“Ini Soal Nyawa, Sampai Bila Nak Pejam Mata?”, Najib Kesal Kerajaan P.Pinang Tak Peduli Isu Alam Sekitar

SHAH ALAM – Insiden tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang, dua hari lalu sudah cukup untuk memberi gambaran bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil sikap tidak peduli terhadap isu alam sekitar.

Menulis di Facebook, Datuk Seri Najib Razak berkata, ketidakpedulian kerajaan DAP terhadap isu alam sekitar menyebabkan banyak kawasan tadahan hujan dan bukit bukau telah dimajukan, walaupun mendapat tentangan NGO alam sekitar.

“Saya teringat semasa lawatan ke Pulau Pinang ketika kempen PRU lepas, ramai yang menyatakan kebimbangan mereka mengenai keadaan alam sekitar di Pulau Pinang. 

“Ini kerana banjir semakin kerap berlaku, malah ada kawasan yang tak disangka-sangka berlaku banjir saperti di Balik Pulau.

“Ketidakpedulian Kerajaan DAP terhadap isu alam sekitar menyebabkan banyak kawasan tadahan hujan dan bukit bukau telah dimajukan.

“Di antara 2008 hingga 2017, lebih 30 projek “hillslope” telah diluluskan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang, walaupun kebanyakan pembangunan itu telah ditentang  oleh NGO-NGO alam sekitar,” kata Najib.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, Pulau Pinang telah mengalami banjir lebih 100 kali di antara 2013 dan 2017,  dengan yang paling teruk berlaku penghujung tahun lalu.

Disebabkan itu kata Najib, antara perkara utama yang digariskan dalam TN50 bagi Pulau Pinang adalah memastikan supaya keadaan alam sekitar negeri itu dipelihara lebih baik dan sempurna bagi mengelakkan bencana seumpamanya berulang.

“Sekarang DAP adalah sebahagian dari  Kerajaan Pusat yang baru, saya harap inisiatif untuk menjaga alam sekitar ini akan terus dititikberatkan.

“Kita tidak  mahu kejadian yang mengorbankan jiwa dan memusnahkan harta benda awam seperti ini berlaku lagi,” katanya lagi.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor berlaku pada jam 1.56 tengah hari Jumaat (19 Okt) sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala lima lagi dikhuatiri masih terperangkap di dalam runtuhan tanah.

Pasukan penyelamat akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus hari ini.

Insiden tanah runtuh yang paling tragis berlaku pada Oktober tahun lalu di tapak projek perumahan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, yang menyaksikan 11 nyawa terkorban. -SuaraTv 

 

Kredit gambar: NSTP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.