“Ibu Bapa Harus Lindungi Anak”, Hannah Yeoh Tegur Nurul Hidayah Muatnaik Video Anak ‘Beri Amaran’ Di Instagram

SHAH ALAM – Tindakan Nurul Hidayah Ahmad Zahid yang memuat naik video anaknya ‘memberi amaran’ di Instagram, mengundang teguran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menerusi Twitter, Yeoh berkata sebagai ibu, Nurul Hidayah sewajarnya melindungi anaknya di internet.

“Ibu bapa harus melindungi anak-anak mereka dan tidak membenarkan video mereka disebarkan di internet,” tulisnya.

Teguran itu susulan tindakan Nurul Hidayah, anak perempuan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memuat naik video anaknya yang berusia 9 tahun ‘memberi amaran’ di Instagram tiga hari lalu, iaitu ketika Zahid didakwa mahkamah.

Dalam video itu, kanak-kanak perempuan itu berkata: “Saya akan buat hidup kamu tak stabil, saya akan buat kamu menyesal seumur hidup”.

Posting di video berkenaan turut disusuli dengan kapsyen #solidarityforgrandpa.

Cucu kepada Ahmad Zahid itu juga dilihat memakai T-shirt mirip pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Yeoh menggesa orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan video itu yang sudah pun dihujani kecaman di internet.

“Saya minta kita henti kongsi video anak itu. Dia terlalu muda untuk faham apa yang sedang berlaku.

“Orang dewasa patutnya lebih tahu dan tidak memanipulasi emosinya. Anak itu tidak bersalah,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mahu orang ramai berhenti mencemuh kanak-kanak berkenaan di laman sosial.

“Saya memandang serius perkembangan terbaru melibatkan cucu Ahmad Zahid yang dicemuh dan dilemparkan kata-kata kesat di media sosial.

“Ini adalah satu bentuk ‘cyberbullying’ dan harus dihentikan serta-merta,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid didakwa atas 45 kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan lebih RM100 juta.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan mantan timbalan perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta bagi semua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.