VIDEO: Harga Rokok Naik Bebankan Perokok, Tapi Tak Kurangkan Tabiat

Oleh: Shuhaniza Said

SHAH ALAM – Kenaikan harga jualan runcit rokok yang dijangka naik akhir bulan ini berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tidak akan memberi sebarang kesan selagi orang ramai tidak mengambil inisiatif untuk berhenti merokok.

Rata-rata orang awam berpendapat kenaikan harga bahan berasaskan tembakau berkenaan sebaliknya hanya memberi bebanan kepada golongan perokok tegar.

Bagi Wan Khalid Abdul Arif, 45, kenaikan harga rokok atas apa jua faktor sekalipun tetap tidak akan mempengaruhi tabiat merokok seseorang individu.

Wan Khalid menambah, ini adalah disebabkan tabiat semulajadi golongan berkenaan.

“Kalau harga rokok naik pun, tak mengurangkan juga (tabiat merokok), sebab kita lihat apa-apa pun sama ada barang itu murah atau mahal pun, orang tetap cari juga. Kalau mahal pun, orang tak berhenti, cumanya membebankan orang lah kalau naikkan harga rokok.

“Pada saya, tak patut pun harga rokok itu naik. Patutnya rokok dihapuskan terus kalau nak menjaga kesihatan orang,” katanya kepada SuaraTv.

Sementara itu bagi Ahmad Tuah, 66, yang merupakan seorang perokok, kerajaan wajar mempertimbangkan kadar kenaikan yang bersesuaian memandangkan golongan sepertinya pasti akan terkesan.

Bagaimanapun katanya, jika kerajaan menaikkan harga rokok kerana benar-benar mahu membendung tabiat merokok, seharusnya penjualan rokok perlu dihentikan, bukannya dengan menaikkan harga.

“Macam mana naik pun harga barang, mereka tetap akan cari juga. Jadi kalau nak bendung, hapus sama sekali rokok.

“Di mana-mana pun tempat di Malaysia ini, rokok adalah satu gejala yang tak dapat dielakkan. Saya berpendapat, kalau kerajaan nak naikkan harga rokok, biarlah setimpal kerana pengguna ini tabiat mereka memang nak mencari rokok. Ini cadangan saya lah.

“Walaubagaimanapun, saya rasa pengguna rokok harus berwaspada kerana kenaikan itu akan menjejaskan kita selaku pengguna dalam keadaan ekonomi kita hari ini yang tak menentu,” katanya.

Pendapat yang sama turut diutarakan Edo Arif. Nelayan berusia 62 tahun itu berkata kenaikan harga rokok hanya membebankan golongan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berpendapat, sungguhpun langkah itu tidak dapat mengubah tabiat merokok secara keseluruhan, namun ia sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha membendung tabiat berkenaan.

“Memang wajar ia (harga rokok) dinaikkan, ia dapat mengurangkan orang merokok. Supaya tabiat merokok kurang, boleh menjaga kesihatan.

“Bagi orang yang merokok, memang membebankanlah…tapi bagi saya ia bagus,” katanya.

Harga jualan runcit rokok dijangka naik akhir bulan ini berikutan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan itu berlaku apabila harga produk tembakau dinaikkan susulan berlaku kenaikan mana-mana cukai berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Pada 30 Ogos lalu, JT International Bhd (JTI Malaysia) mengumumkan harga rokok bagi semua jenama yang diedarkannya di Malaysia akan meningkat selepas penguatkuasaan SST pada 1 September.

Sejak SST dilaksanakan, harga rokok di pasaran dilaporkan meningkat sekitar 0.50 sen.

Kali terakhir syarikat pengeluar rokok menaikkan harga jualan runcit rokok adalah pada November 2015 susulan kenaikan eksais rokok selain mengambil kira kesan GST serta tekanan kos inflasi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.